Jumpa di mahkamah - pesanan Che Ta buat bekas pemandu

Astro Awani
Mac 7, 2019 17:19 MYT
Che Ta menegaskan, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk menganiaya pekerjanya.
PELAKON, pengacara dan usahawan terkenal, Rozita Che Wan atau Che Ta bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap Muhammad Riduan yang juga bekas pemandunya yang melemparkan fitnah buat dia dan keluarganya.
Menurut Che Ta, tuduhan bahawa dia tidak membayar gaji Muhammad Riduan sepanjang lelaki itu berkhidmat sebagai pemandu peribadinya adalah tidak benar sama sekali.
"Bayar tetap bayar. Gaji dia sudah dibayar penuh seperti biasa berjumlah RM2,000 hari ini .
"Tapi dengan apa yang dia (Muhammad Riduan) sudah lakukan kepada saya dengan mengadakan cerita tak benar sekali gus jatuh fitnah dan memalukan, kami akan ambil tindakan tegas.
"Kami sudah berhubung dengan peguam untuk tindakan mahkamah. Malah kami juga nak buat saman malu dan memohon dia melakukan permohonan maaf secara terbuka,” kata Che Ta dalam kenyataan pada Khamis.
Pada Rabu, Muhammad Riduan, 21, menulis di laman sosial mendakwa Che Ta tidak membayar upahnya selain menyebarkan kata-kata berbaur hasutan kononnya isteri kepada Zain Saidin ini menganiaya lelaki berkenaan.
Menurut Che Ta, dia tidak pernah tidak membayar gaji pekerjanya.
“Gaji dia bulan pertama dibayar seperti biasa. Cuma untuk bulan Februari saya terlambat bayar kerana tidak masuk ke pejabat untuk menguruskan hal kerja termasuk pembayaran gaji.
"Kebiasaannya saya akan bayar gaji setiap hujung bulan atau selewat-lewatnya sebelum masuk tarikh ketujuh bulan seterusnya. Itu standard biasa. Bulan Februari saya banyak urusan kerja luar dan tak dapat masuk ke pejabat.
“Semalam pada tarikh 6 Mac saya baru masuk pejabat. Selesai urusan yang patut termasuk mesyuarat, saya sudah bersedia nak isukan cek kepada pembantu peribadi... tiba-tiba dia buat hal viralkan perkara ini. Saya asalnya nak sudah nak bayar dan dia juga sudah bersetuju dengan jumlah gaji yang akan dibayar,” kata.
Menurut Che Ta, pada bulan Februari saja lelaki itu bercuti selama 12 hari.
"Dia hanya bekerja 16 hari saja. Tapi saya masih nak bayar gaji penuh kepadanya iaitu sebanyak RM2,000. Tapi Zain sendiri cakap dengan jumlah kerjanya pada bulan Februari, patut dibayar RM1,000 saja. Namun selepas dipertimbangkan, saya nak bayar kepadanya RM1,500.
“Dia cakap tak mahu kerja dengan saya lagi dan tarikh akhir bekerja pada 23 Februari. Mungkin sebab sedar diri kerjanya tak bagus dan rasa tak terjamin, maka mulalah nak tularkan benda yang sebaliknya. Buat cerita itu dan ini demi menutup kesalahan diri,” katanya.
Pelakon yang berasal dari Kedah itu juga menegaskan, Muhammad Riduan juga menunjukkan prestasi kerja yang hambar.
Selama ini, Che Ta mengakui tidak pernah berdepan masalah dengan pemandu peribadinya.
“Dulu pernah ada pemandu peribadi yang bekerja sampai 10 tahun dengan saya. Begitu juga pemandu seterusnya. Kedua mereka menunjukkan sikap yang baik dan rajin. Tapi yang kali ini, sebaliknya.
“Ingat lagi masa awal dia (Muhammad Riduan) ditemubual untuk menjadi pemandu peribadi, siap cakap ... kalau tak bagus khidmatnya.. sanggup cakap tak dibayar gaji. Banyak kesalahan dan sikapnya yang melanggar etika.
"Tapi tidaklah sampai saya terfikir nak merakamkan atau mengambil gambar sebagai bukti. Kalau ada semua bukti sebegitu, saya rasa baru dia tahu langit ini tinggi atau rendah
"Tak terdetik langsung nak buka aib dia,” katanya lagi.
#amaran #Che Ta #Minta maaf atau jumpa di mahkamah #Rozita Che Wan
;