JubliSiti25: "Jangan berhenti merendah diri" - Pesan Siti Nurhaliza buat artis baharu
Astro Awani
April 1, 2021 19:42 MYT
April 1, 2021 19:42 MYT
KUALA LUMPUR: Sudah suku abad beliau hadir mewarnai persada seni tanah air dan sepanjang tempoh itu, terlalu banyak kegembiraan yang dikongsinya dengan seluruh masyarakat.
Peminat setianya dari segenap lapisan usia sentiasa menghargainya setiap kali beliau muncul dengan karya-karya seni baharu.
Mengekalkan kedudukan sebagai penyanyi kesayangan ramai selama 25 tahun, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin adalah contoh anak seni yang kental mengharungi cabaran dunia glamor.
Tidak pernah kedengaran berita beliau rebah dengan kritikan, cercaan atau hinaan.
Bahkan, pujian yang diterimanya selama itu tidak pula mudah membuatkan beliau lupa diri.
Dan kerana itu, 1 April pada setiap tahun akan menjadi tarikh yang cukup istimewa buat pencinta-pencintanya untuk meraikan sambutan penglibatannya sebagai artis.
Hari ini pula, genap 25 tahun Siti Nurhaliza kukuh di kedudukannya sebagai penyanyi tersohor.
Sekalipun, penyanyi baharu sering silih berganti memeriahkan gelanggang seni, namun, Siti Nurhaliza masih mendapat perhatian masyarakat dan media.
Bagi penyanyi berusia 42 tahun itu, hanya kesyukuran mampu dipanjatkan pada Yang Maha Esa kerana memberikan ruang dan peluang untuk terus berkarya.
Kesempatan berharga itu, ujar Siti Nurhaliza, adalah anugerah yang tidak mampu diukur dengan wang ringgit.
“Semoga Allah terus berkati bakat Siti agar dapat berkarya lagi,” katanya berkongsi doa dan harapannya kepada Astro AWANI.
25 tahun Siti Nurhaliza sebagai penyanyi
Selepas melalui pelbagai pengalaman manis dan pahit serta sepak terajang dunia seni, tiada apa lagi yang mahu disumbangkan buah hati kesayangan Malaysia itu selain daripada kembali berbakti dan mendekatkan diri dengan masyarakat.
Bersyukur Siti Nurhaliza dengan rezeki yang tidak pernah putus Allah turunkan kepadanya kerana di situ juga beliau dapat berkongsi dengan golongan yang memerlukan.
“Sekarang Siti mahu lebih mendekatkan diri dengan masyarakat, bantu mereka sama ada dari segi kerjaya seni atau perniagaan yang Siti usahakan.
“Sebolehnya Siti mahu mengeratkan silaturrahim dengan peminat-peminat Siti sampai bila-bila,” ujarnya yang sedang menghitung hari menanti kelahiran cahaya mata kedua.
Memahami kedudukannya sebagai artis senior pasti akan dipintas satu hari nanti, Siti Nurhaliza tidak lokek berkongsi nasihat dan pandangan.
Sesudah melalui pengalaman luas sebagai bintang pujaan, harapan menggunung Siti Nurhaliza pada penyanyi angkatan baharu ialah jangan sesekali mengabaikan sikap merendah diri.
Dalam masa sama, perkara yang turut diingatkan oleh penyanyi Jerat Percintaan dan Cindai itu ialah sentiasa menjaga hubungan yang baik dengan orang-orang di sekeliling.
“Artis baharu jangan sesekali lupa merendah diri dan jaga hubungan baik dengan orang-orang sekeliling termasuk pihak media. Mereka semua adalah penyumbang pada kerjaya seseorang artis. Sokongan mereka adalah kunci kejayaan kita,” ujarnya.
Penghargaan kepada artis-artis senior juga, tegas Siti Nurhaliza, jangan sesekali diabaikan oleh setiap individu yang memilih untuk bergelar anak seni.
Katanya, setiap kejayaan bintang senior harus dijadikan inspirasi dan motivasi oleh artis-artis baharu untuk menggapai cita-cita dalam lapangan seni.
“Siti tidak bermaksud artis-artis baharu wajar menghargai Siti sahaja, tetapi juga kepada artis-artis senior sebelum Siti lagi atau di era Siti juga. Jadikan kejayaan mereka sebagai panduan buat diri sendiri.
“Jangan berhenti bekerja keras untuk mencapai kejayaan dan belajar untuk mengekalkan kejayaan itu. Kita bersusah payah untuk sampai ke kedudukan itu, jadi hargailah dengan sebaik mungkin,” kata Siti Nurhaliza yang berpandangan terdapat ramai artis baharu yang dilihatnya berpotensi besar untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.
‘Legasi’ cenderamata istimewa JubliSiti25
Pada tahun ini, sempena sambutan Jubli Perak Siti Nurhaliza dalam dunia hiburan, penyanyi itu turut sama melancarkan album berkonsepkan kanak-kanak berjudul ‘Legasi’.
Mula dipasarkan hari ini, Legasi merupakan album berkonsepkan lagu kanak-kanak yang dihasilkan dengan matlamat mahu melestarikan irama klasik untuk dihargai generasi akan datang.
“Saya tetap mengutamakan kualiti muzik, bunyi dan gubahan yang baik dalam sesebuah lagu dan album Legasi mempunyai keseronokan yang tersendiri sewaktu di dalam studio”
“Apa yang penting, saya sangat berpuas hati dengan hasil kerja dan usaha yang dibuat oleh Pown Hasril selaku penerbit bersama pasukan kerjanya,’’ katanya mengenai album yang memuatkan lagu-lagu mesra kanak-kanak seperti Anakku Sayangku, Medley Klasik Siti 2, Bintang Kecil serta lagu Anakanda yang didedikasikan khusus untuk anak keduanya yang akan lahir tidak lama lagi.