Juara Tahfiz Muda dipilih ikon Rakan Muda Masjid Negeri Perak

Bernama
Julai 3, 2016 15:39 MYT
Pelajar tahun lima SK Matang Kunda di sini itu akan fokus di seluruh masjid dan surau dalam kawasan Parlimen Bagan Datoh dahulu. - Foto Astro Gempak
Juara Tahfiz Muda Astro Oasis 2016 musim pertama Mohamad Aqil Khair Mohamad Fairos, 11, dipilih sebagai ikon Rakan Muda Masjid peringkat negeri Perak bagi menarik generasi muda, khusus sebayanya berminat mendalami ilmu al-Quran dan berkunjung ke surau dan masjid.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan Perak Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata pihaknya percaya adalah lebih efektif sekiranya anak muda sendiri yang menyampaikan kepada generasi muda lain kerana mereka boleh bercakap dalam bahasa dan lenggok gaya anak muda.
"Saya telah bincang dengan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri dan kita bersetuju menjadikan adik Aqil sebagai ikon program Rakan Muda Masjid. Apabila ada program ini, jika berkesempatan kita akan bawa adik Aqil ke program keagamaan di negeri ini.
"Sekurang-kurangnya untuk pembukaan membaca al-Quran, majlis membaca doa dan adalah lebih baik juga beliau memberi tazkirah," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Kepujian kepada Mohamad Aqil di sini hari ini.
Bagaimanapun katanya pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Matang Kunda di sini itu akan fokus di seluruh masjid dan surau dalam kawasan Parlimen Bagan Datoh dahulu berikutan tidak mahu mengganggu konsentrasi pembelajarannya sekiranya kerap dijemput memenuhi undangan.
"Buat permulaan, dia akan dijemput ke surau dan masjid terpilih pada waktu-waktu tertentu bagi tarik golongan muda sepertinya untuk bersama beribadah dan saya rasa ia suatu pendekatan yang efektif.
"Kalau orang tua ajak, mereka mungkin pergi atas rasa takut, tapi kalau generasi muda kawan-kawan mereka sendiri yang ajak ke masjid, saya rasa ia satu pelawaan daripada rakan sebaya, bukanlah atas rasa takut tapi atas semangat setia kawan," katanya.
Sementara itu, Mohamad Aqil ketika ditemui berkata beliau tidak sangka dan berterima kasih dengan pelantikannya sebagai ikon Rakan Muda Masjid.
Mula belajar mengaji dengan ayahnya Mohd Fairos Ashaari seawal usia empat tahun dan khatam al-Quran pada usia 7 tahun, anak kelima daripada enam beradik itu berkata beliau akan menghafaz al-Quran setiap kali waktu solat, terutama selepas subuh dan maghrib.
"Ayah saya seorang ustaz Sekolah Menengah Agama Rakyat Irshadiah di sini dan dialah yang mengajar saya mengaji. Semasa mengaji apa yang paling penting jangan main-main dan kena fokus," katanya yang mahu menjadi seorang pensyarah apabila dewasa nanti.
#astro oasis #belia dan sukan #Mohamad Aqil Khair Mohamad Fairos #Tahfiz Muda
;