"Jual ayam bukan sebab..." - Ali Puteh mahu tutup buku lama
Gempak
April 6, 2022 12:08 MYT
April 6, 2022 12:08 MYT
REZEKI tak pernah salah alamat, itulah ungkapan sesuai diberikan kepada pelawak Ali Puteh yang kini merupakan duta pembekal ayam mentah jenama Red Grocer.
Namun disebabkan kontroversinya sebelum ini, pastinya ada kata-kata negatif yang dilontarkan kepadanya.
Tidak cepat melatah, Ali bagaimanapun menjelaskan keputusannya untuk menceburi bidang perniagaan adalah kerana minat.
Bukan seperti dakwaan ramai iaitu untuk membayar wang yang telah diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap bekas balu abangnya, Siti Nor Hidayah Mohd Ali.
“Saya hanya boleh cakap tak mengapa terima kasih banyak, sebab mahu memberikan fokus pada kerja dan perniagaan ini.
“Fokus perniagaan ini lebih kepada fardu kifayah, jadi saya akan gunakan peluang ini sebaik mungkin kerana saya juga ada perut yang perlu diisi iaitu keluarga saya.
“Orang boleh berkata apa sahaja namun saya tetap dengan pendirian saya untuk terus maju ke depan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta di Kilang Red Grocer, Johor Bahru, baru-baru ini.
Mengulas mengenai perlantikannya sebagai duta, Ali menyatakan rasa syukur kerana diberi peluang dan kepercayaan oleh pihak Red Grocer untuk menjalankan tanggungjawab tersebut.
“Dunia baru Ali maknanya tutup buku lama dan saya ke depan dengan satu matlamat iaitu dengan fardu kifayah, ayam bersih, disembelih dengan cara yang halal dan mengikut syarak.
“Tutup buku lama, buka buku baru, terus maju ke hadapan. Jadi saya sangat merendah diri dan juga bersyukur dengan peluang yang diberikan.
“Berniaga tidak bermakna saya akan berhenti dari bidang seni, jika diberi peluang untuk bermain di pentas saya akan tetap dengan kerjaya saya sebagai anak seni.
Terdahulu, pada 18 Februari 2022, mahkamah telah memerintahkan Ali untuk membayar kos sebanyak RM60,000 kepada Hodayah kerana mengeluarkan kata-kata mengaibkan di akaun Instagramnya kira-kira dua dua tahun lalu.
Ali pada masa yang sama memaklumkan akan membuat rayuan di Mahkamah Tinggi berikutan terdapat beberapa fakta yang didakwa tidak tepat.