Johnny Depp terima kontrak termahal dalam sejarah jenama Dior

Gempak
Mei 15, 2023 12:31 MYT
Dior didakwa telah menjalin kerjasama baharu dengan Depp sebagai wajah wangian lelaki dengan nilai kontrak terbesar dalam sejarah mereka. - Gempak
JENAMA terkenal Perancis yang bukan hanya terkenal dengan rangkaian fesyen tetapi juga wangian, Christian Dior dilaporkan telah memperbaharui kontrak ‘luar biasa’ dengan pesohor hiburan penuh kontroversi, Johnny Depp.
Dior didakwa telah menjalin kerjasama baharu dengan Depp sebagai ‘wajah wangian’ lelaki dengan nilai kontrak terbesar dalam sejarah mereka.
Depp dikatakan menerima kontrak bernilai RM89.5 juta (AS$20 juta) untuk tempoh tiga tahun, lapor satu sumber kepada Variety.
Nilai kontrak tersebut dipercayai jauh ‘meninggalkan’ jumlah yang pernah diperoleh beberapa duta Dior yang lain termasuk bersama aktor Robert Pattinson dan Brad Pitt.
Pattinson pernah menjadi duta Dior Homme dengan bayaran RM53.7 juta (AS$12 juta) manakala Pitt yang mempromosikan Chanel No.5 menandatangi kontrak bernilai RM31.3 juta (AS$7 juta).
Bagaimanapun pihak Dior dan Depp belum memberi kenyataan rasmi terhadap laporan yang dikeluarkan.
Dior sebelumnya tidak mengendahkan kontroversi yang tercetus di antara Depp dengan mantan isterinya, Amber Heard pada 2020 dengan meneruskan kerjasama di antara mereka yang terjalin sejak tahun 2015.
Bintang Pirates of the Caribbean sangat sinonim sebagai wajah Dior Sauvage yang memberi imej dirinya sebagai rocker yang ‘nakal’. -- Gempak
#Johnny Depp #Christian Dior #sambung kontrak #Brad Pitt
;