John Cena mohon maaf sebut Taiwan sebagai negara

Agensi
Mei 26, 2021 14:54 MYT
Cena berkata Taiwan menjadi "negara" pertama yang menonton filem terbaharu Fast and Furious. - REUTERS / Mario Anzuoni
Pelakon dan bintang gusti, John Cena meminta maaf kepada peminat di China selepas menggelarkan Taiwan sebagai negara semasa sesi wawancara untuk mempromosikan filem terbarunya "Fast & Furious 9".
Bercakap kepada stesen TVBS Taiwan awal bulan ini, Cena, 44 tahun, berkata Taiwan menjadi "negara" pertama yang menonton filem terbaharu Fast and Furious.
China menganggap Taiwan sebagai salah satu wilayahnya, satu tanggapan yang ditolak oleh negara tersebut.
"Saya melakukan satu kesalahan. Saya sangat menyesalinya," kata Cena dalam bahasa Mandarin menerusi sebuah video yang disiarkan di akaunnya di Weibo.
"Saya menghormati China dan rakyat China," tambahnya.
Cena kini menyertai senarai panjang selebriti antarabangsa yang menimbulkan kemarahan masyarakat China atas komen mereka mengenai Taiwan, Hong Kong atau Xinjiang.
Permintaan maaf Cena bagaimanapun tidak mencukupi bagi netizen di China.
"Tolong gunakan bahasa Mandarin untuk buat pengakuan yang Taiwan adalah sebahagian dari China. Jika tidak, kami tidak akan menerima permintaan maaf itu," itu antara komen yang diterima Cena.
Permintaan maaf itu tidak menerima reaksi yang baik di Amerika Syarikat.
Malah bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo turut memberikan respon sinis.
"Anda sanggup tunduk kepada Parti Komunis China," tulis Pompeo di Twitter.
Hubungan antara Amerika Syarikat dan China terjejas di bawah Pompeo yang bertugas di bawah pimpinan Presiden, Donald Trump.
Kementerian Luar Taiwan enggan mengulas.
Filem tersebut menjadi menerima sambutan hebat sejak ditayangkan di China bermula 21 Mei.
Pada hujung minggu lalu, China menyumbang AS$135 juta dari keseluruhan kutipan AS$162 juta yang diperoleh filem berkenaan.
#John Cena #Amerika Syarikat #Fast and Furious #filem #China #Taiwan
;