Johan berang maklumat peribadi didedah pihak tidak bertanggungjawab

Astro Awani
November 3, 2016 17:23 MYT
Johan juga telah menyatakan rasa tidak puas hatinya terhadap pihak yang mendedahkan maklumat peribadinya dan akan membuat laporan polis mengenai perkara tersebut. - Gambar fail

PENYAMPAI radio Era FM, Johan, meluahkan rasa kecewa apabila maklumat peribadinya didedahkan pihak tidak bertanggungjawab

Akibat perbuatan tersebut, kediaman personaliti popular itu telah dikunjungi beberapa individu tidak dikenali.

Menerusi luahan yang dibuat di akaun Instagramnya, Johan berkata, meskipun mereka yang datang ke rumahnya itu bertujuan untuk memberikan hadiah, tetapi isu utama ialah tentang keselamatan anak-anak dan keluarganya.

Tidak menyimpan sebarang prasangka, sebaliknya pengacara Lawak Solo itu bingung bagaimana alamat rumahnya boleh diketahui ramai.

Johan juga telah menyatakan rasa tidak puas hatinya terhadap pihak yang mendedahkan maklumat peribadinya dan akan membuat laporan polis mengenai perkara tersebut.

Pada masa sama, pengikut IG @jozlynhahania turut menyokong tindakan tegas Johan yang ingin mengambil tindakan terhadap individu tidak bertanggungjawab membocorkan maklumat peribadinya.

#johan #Johan Raja Lawak #Ozlynn
;