'This Is Johan' abadikan perjalanan seni Joe Flizzow
Bernama
Mac 2, 2024 11:50 MYT
Mac 2, 2024 11:50 MYT
KUALA LUMPUR: Melakar perjalanan sebagai anak seni selama dua dekad, hakikatnya bukan mudah buat penyanyi rap terkenal yang juga penerbit muzik, Joe Flizzow untuk menempa nama dalam genre muzik hip hop, baik di Malaysia mahupun luar negara.
Apatah lagi, apabila pelantun lagu Satu Malam Di Temasek ini yang sebelumnya merupakan anggota kumpulan Too Phat terpaksa bergerak solo pada 2017 selepas rakan duonya, Malique menghilangkan diri kerana lebih selesa untuk bergerak sendirian di belakang tabir walhal populariti mereka ketika itu begitu memuncak.
Terumbang-ambing susulan keputusan itu yang memberi kesan cukup besar dalam hidup dan kerjaya seninya, namun cinta Joe atau nama sebenarnya Johan Ishak terhadap dunia hip-hop menguatkan semangatnya untuk terus menyemarakkan lagi genre berkenaan dan akhirnya satu demi satu kejayaan dilakarnya.
Tidak hanya memecah tradisi apabila lirik lagu Apa Khabar oleh Joe dan ciptaan SonaOne menjadi genre hip-hop pertama dinobatkan sebagai Juara Lagu pada 2014, malah rapper ini memenangi anugerah Penghibur Terbaik Asia Tenggara pada Anugerah Muzik Eropah MTV 2018 (MTV EMA 2018) selain bekerjasama dengan bintang rap dunia, Snoop Dogg pada 2021.
Biarpun begitu, tidak ramai yang mengetahui akan onak duri yang perlu ditempuhi anak kelahiran Johor Bahru, Johor ini untuk terus kekal relevan dan utuh dalam persada hip-hop sehingga ke saat ini walaupun pelbagai nama baharu rapper mewarnai industri hiburan ketika ini.
Kerana itu, Joe akhirnya terbuka hati untuk mengabadikan liku-liku kehidupannya sebagai pemuzik rap dalam filem dokumentari autobiografi bertajuk 'This Is Johan' yang membawa penonton menyaksikan perjalanannya ketika zaman kecil hingga menceburi bidang seni.
Berdurasi dua jam, dokumentari itu yang menyingkap pelbagai perspektif termasuk keluarga dan kenalan rapat alam persekolahan sebelum popular turut mempamerkan momen jatuh bangun Joe dalam industri yang boleh dijadikan sumber inspirasi kepada peminat serta mereka yang ingin mengikuti jejaknya.
Joe ketika ditemui berkata dia gembira selepas proses penggambaran yang dijalankan oleh produksi filem, Mojo Films yang mengambil masa kira-kira dua tahun enam bulan itu akhirnya berjaya menyiapkan filem dokumentari autobiografi yang menarik dengan footage atau bahagian filem yang tersusun.
"Sepatutnya proses penggambaran dokumentari ini enam bulan, tapi ada ketika kru produksi terpaksa terbang ke Singapura dan Bangkok, Thailand semata-mata untuk mendapatkan footage reaksi daripada artis-artis di sana untuk bercerita tentang saya.
"...dan juga rakaman ketika saya melakukan konsert solo dan bertanding di Anugerah Juara Lagu. Jadi, kita tidak terlalu tergesa-gesa untuk menyiapkan dokumentari ini kerana mahu ia dilihat naskhah terbaik dan memastikan jalan cerita itu betul," katanya dalam satu sidang media baru-baru ini.
Inginkan kisah perjalanan kariernya sebagai penyanyi rap dihasilkan semasa masih hidup dan keluar daripada mulutnya sendiri, Joe yang juga dikenali sebagai Mr President tidak mahu perihal kerjayanya diceritakan oleh pihak ketiga yang biasanya dihasilkan selepas seseorang artis itu meninggal dunia.
"Penceritaan ini (dokumentari) datang daripada naratif saya sendiri bukan daripada orang ketiga seperti kebanyakan dokumentari artis yang dibuat selepas mereka meninggal dunia. Jadi, sekurang-kurangnya saya telah bercerita tentang karya saya ketika saya masih hidup," katanya.
Selepas lebih dua dekad dalam industri seni, Joe turut menzahirkan kesyukuran kerana masih mampu bertahan dan mengetengahkan lagu-lagu yang dapat menjadi terapi selepas melalui kehidupan yang sukar.
Sementara itu, pengarah dokumentari berkenaan, Barney Chua berkata 'This Is Johan' merupakan pengalaman pertama bagi pihaknya selaku syarikat penerbitan menghasilkan filem dokumentari berbanding fokus utama mereka menghasilkan iklan pendek sejak 17 tahun aktif dalam bidang itu.
"Footage asal keseluruhan untuk hasilkan filem ini ada sekitar mencecah 400 jam dan memang susah bagi kita untuk jadikannya dua jam.
"... bahagian paling susah ialah selepas Joe tidak lagi bersama Too Phat (bahagian kedua) kerana Joe sangat berjuang melawan kesulitan serta ramai yang ditemu ramah juga tidak tahu apa yang Joe buat, namun akhirnya kita berjaya menyiapkannya," katanya.
Dokumentari This Is Johan bahagian satu dan dua sudah ditayangkan dan boleh ditonton menerusi platform penstriman hiburan, Viu.
-- BERNAMA