Joe Flizzow timba ilmu di Harvard

Madiha Abdullah
Julai 21, 2016 07:53 MYT
Salah seorang rakan sekursus dengannya adalah rapper dan pelakon Hollywood terkenal, LL Cool J.Foto/Instagram Joe Flizzow
SIAPA yang tidak kenal dengan penyanyi rap dan penerbit muzik, Joe Flizzow.
Mula dikenali sebagai salah seorang anggota kumpulan rap Too Phat, Joe mengorak langkah secara solo dengan resume yang semakin cemerlang, antaranya muncul penyanyi pertama memenangi Anugerah Juara Lagu menerusi lagu bergenre hip-hop.
Tidak cukup dengan kejayaan yang sudah ditempa, Joe mengorak langkah untuk memajukan diri sendiri apabila mengikuti kursus jangka pendek di salah sebuah universiti terkemuka dunia di Amerika Syarikat, Harvard.
Dalam temubual bersama Astro AWANI, Joe memberitahu, semuanya bermula dengan kerjasama yang diberikan pihak FINAS yang membuka peluang untuk penggiat seni yang berminat mengikuti kursus jangka pendek atau menyambung pelajaran.
Mengikuti kursus 'The Business of Entertainment and Sports' yang ditawarkan oleh Harvard Business School, Joe mengakui teruja apabila berkesempatan duduk sekelas bersama orang-orang hebat yang kebanyakannya memegang jawatan ketua pegawai eksekutif (CEO) dan ketua pegawai kewangan (CFO) syarikat terkenal.
Malah salah seorang rakan sekursus dengannya adalah rapper dan pelakon Hollywood terkenal, LL Cool J.
Namun apa yang membuatkan dia lebih teruja adalah apabila menyaksikan kesemua mereka sangat merendah diri dan fokus dengan tujuan masing-masing.
"Tiada ego atau rasa megah kerana kami di sana atas satu tujuan yang sama iaitu menimba ilmu," cerita Joe.
Joe juga memberitahu kursus jangka pendek itu sedikit sebanyak memberikannya aspirasi tentang apa yang mahu dilakukannya dalam tempoh lima tahun akan datang.
Joe mengikuti kursus tersebut Jun lalu.
#Harvard #hip-hop #Joe Flizzow #ll cool j #muzik #rap #rapper #selebriti
;