Joe Flizzow kahwin tahun depan?
Astro Awani
Oktober 28, 2019 11:31 MYT
Oktober 28, 2019 11:31 MYT
PELOPOR muzik hip hop negara, Joe Flizzow bakal mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihannya tahun depan.
Penyanyi dan penulis lirik itu difahamkan sudah merisik teman wanitanya Marini Ramlan.
Ibu Joe, Aishah Ali memberitahu anak sulungnya itu sudah berapa pada tahap membanggakan untuk mendirikan rumah tangga.
“Kira-kira sebulan lepas, Joe telah dilantik sebagai Pengarah Urusan Def Jam Asia Tenggara.
“Secara peribadi, saya merasakan selepas kejayaannya itu, barulah dia mahu berkahwin,” katanya.
Menurut Aishah, tiada sebarang tarikh yang ditetapkan, namun majlis perkahwinan Joe atau nama sebenarnya, Johan Ishak bakal berlangsung awal tahun depan.
Terdahulu, Joe mengukir sejarahnya yang tersendiri selepas menjadi penyanyi pertama negara yang bernaung di bawah label rakaman baharu, Def Jam.
Artis lain termasuk DABOYWAY (Thailand), Yung Raja (Singapura), Fariz Jabba (Singapura), Alif (Singapura), A.Nayaka (Indonesia) dan Young Bong (Thailand).
Def Jam yang ditubuhkan pada 1984 bermula sebagai label indie yang diinspirasikan daripada budaya jalanan kota New York serta kelahiran bunyi hip-hop.
Def Jam pernah mewakili nama-nama besar dunia muzik selama 35 tahun seperti LL Cool J, Slick Rick, The Beastie Boys dan Public Enemy.
Dua dekad kemudian, Def Jam memperkukuhkan kedudukan dengan bintang tersohor seperti Jay-Z, DMX, Ja Rule, Method Man & Redman, Ludacris, Rihanna, Jeezy, serta Kanye West.