'Joe dan Marini serius sejak tiga tahun lalu' - Ibu Joe Flizzow umum pertunangan
Sahlizah Mohamed
Disember 29, 2019 16:16 MYT
Disember 29, 2019 16:16 MYT
Penyanyi rap dan penulis lirik, Joe Flizzow bakal mendirikan rumah tangga bersama gadis pilihannya yang juga seorang pelukis profesional, Marini Ramlan pada April tahun depan.
Bagaimanapun, tarikh sebenar majlis masih belum ditetapkan ekoran pasangan itu baru sahaja mengikat tali pertunangan dalam sebuah majlis yang diadakan di Petaling Jaya, Selangor malam tadi.
Menurut ibu Joe, Aishah Ali, Joe atau nama sebenarnya Johan Ishak, 40, mula menjalinkan hubungan serius dengan Marini, 41, sejak tiga tahun lalu sebelum memutuskan untuk bertunang pada hujung tahun ini.
“Mereka berdua sudah saling mengenali sejak 15 tahun lalu. Pada awalnya hanya berkawan.
“Pada tahun 2016, mereka mula rapat dan serius sebelum Joe melanjutkan pengajian pada cuti musim panas di Harvard Business School,” katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.
Menurut Aishah, majlis pertunangan Joe memang dirancang untuk diadakan pada hujung tahun selepas selesai majlis perkahwinan adiknya, Iman pada Ahad lalu.
“Tiada sebarang tarikh istimewa untuk penetapan hari pertunangan mereka.. cuma kami mahu semuanya selesai selepas majlis adiknya.
“Selepas itu barulah diadakan majlis merisik dan bertunang,” jelasnya.
Majlis itu menyaksikan Marini menerima sebentuk cincin, manisan dan tepak sireh sebagai simbol adat Melayu dalam majlis berkenaan.
Kata Aishah, majlis berkenaan turut menyaksikan pertemuan antara dua keluarga iaitu dari Johor dan Terengganu.
Dihadiri oleh keluarga dan teman rapat, antara hidangan yang dijamu adalah nasi dagang, nasi minyak Terengganu, kuih-muih tradisional seperti akok dan sri kaya.