Jiran risau, lapor takut Jack Nicholson mati, 18 bulan tak keluar rumah
Gempak
April 16, 2023 00:16 MYT
April 16, 2023 00:16 MYT
Jiran-jiran di kawasan kediaman bintang filem legenda, Jack Nicholson melahirkan kebimbangan sehingga membuat laporan selepas tidak melihat kelibat aktor itu keluar rumah sejak lebih setahun lalu.
Nicholson yang tinggal di kawasan Mullholland Drive, Beverly Hills didakwa sudah 18 bulan tidak keluar rumah. Mereka mendakwa lebih setahun tidak melihat kelibat Nicholson keluar dari kediaman yang bernilai RM44 juta tersebut.
Hal itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan jiran kerana risau dia mati keseorangan di dalam rumah, lapor DailyMail.uk.
Kerana prihatin, mereka membuat aduan beberapa kali kepada pihak berkuasa, dan akhirnya kelibat Nicholson muncul buat pertama kali selepas 18 bulan tidak kelihatan keluar rumah!
Nicholson, 85, dilihat pertama kali keluar rumah dan menghabiskan masa dengan meninjau keadaan sekeliling melalui balkoni pada 13 April 2023.
Pemenang tiga kali anugerah Oscar tersebut kelihatan memakai baju t shirt berwarna jingga dengan rambut kurang terurus.
Sebelumnya jiran-jiran aktor itu mendakwa Nicholson kali terakhir dilihat menghabiskan masa bersama salah seorang anaknya, Ray, pada Oktober 2021.
Ramai yang bimbang jika Nicholson mengalami masalah kesihatan kerana berkurung terlalu lama di dalam rumah tanpa melihat dunia luar.
Namun bekas hos di Fox News, Bill O'Reilly mengatakan sahabatnya itu berada dalam keadaan sihat dan masih bijak berfikir. - Gempak