Jin BTS beli Lamborghini biru bernilai RM2.1 juta?
Agensi
September 7, 2019 15:46 MYT
September 7, 2019 15:46 MYT
SEBELUM ini, hampir setiap hari kita mendengarkan kisah ataupun khabar berita daripada kumpulan fenomena Korea Selatan, BTS.
Kumpulan ‘Bangtan Boys’ itu kini sedang menikmati cuti panjang mereka yang telah diberikan oleh Big Hit Entertainment sebagai peluang bagi mereka untuk berehat daripada arena muzik.
Namun, percutian dinikmati mereka itu semestinya tidak terlepas daripada perhatian peminat ataupun ARMY yang sentiasa merindui kumpulan septet ini selepas salah seorang daripada mereka mendakwa dirinya terlihat Jin di bilik pameran kereta mewah Lamborghini.
Menurut peminat itu yang sedang bersiar-siar di Korea, dia terlihat salah seorang ahli BTS iaitu Jin di dalam bilik pameran Lamborghini dan dikatakan membeli sebuah Lamborghini Aventador S berwarna biru.
Mengikut kepada harga pasaran, model Lamborghini itu dijual dengan harga AS$522,000 (RM2.18 juta)!
Walau bagaimanapun, ini bukan kali pertama ahli kumpulan BTS memiliki kereta mewah kerana berbalik pada tahun 2017, seorang lagi anggota BTS, Jimin pernah memuat naik videonya yang sedang berada di kerusi penumpang sebuah kereta ‘sport’ yang kemudiannya memberikan ruang kepada detektif ARMY ini sendiri dalam meneka jenis model kereta yang dinaikinya itu.
Antara tekaan model kereta yang dinaiki Jimin itu adalah Porsche Panamera GTS atau Turbo, dan kedua-dua kereta itu bernilai AS$100,000 (RM418 ribu).
Tidak terkejutlah jika dia mampu memiliki kereta mewah dan eksklusif kerana dia sememangnya seorang yang berhati mulia kerana sering terlibat dengan kerja amal.
Selain itu Jin sering juga mendermakan sejumlah wang yang besar ke pusat jagaan haiwan dan yang terbaharu, kepada UNICEF sebanyak 100 juta won (RM350 ribu).
Sebelum ini, Jin ada juga berkongsikan kepada peminatnya dengan sebuah gambarnya menerusi laman Twitter bersama seorang lagi anggota BTS Suga yang sedang memancing.
Meskipun ia hanyalah khabar angin dan belum dapat dipastikan kesahihannya, ramai sudah peminat yang berkongsikan keterujaan mereka di laman Twitter.