Jimmy Shanley tak pedulikan anak kata bekas ibu mertua

Gempak
Mei 23, 2014 17:32 MYT
Jimmy Shanley - Gambar Fail
Bekas ibu mertua kepada pengacara Jimmy Shanley, Muniroh Kassim memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam semalam bahawa bekas menantunya itu tidak menunjukkan sebarang reaksi gembira untuk bertemu dengan cucunya, Zahra Rania Shanley yang berusia 2 tahun.
Menerusi laporan Sinar Harian, Muniroh berkata sewaktu dia menghantar Zahra Rania ke rumahnya, pengacara berusia 34 tahun itu tidak menunjukkan sebarang reaksi terhadap kehadiran anaknya.
"Sewaktu cucu saya diwadkan di hospital kerana tidak sihat, dia cuma datang melawat lima minit sahaja," katanya.
Ibu kepada Nur Suhaila Eliani Suhaimy, 25 itu berkata, dia tidak menghalang Jimmy untuk datang melawat dan mengambil anak itu keluar pada bila- bila masa kecuali bermalam kerana waktu kerjanya yang bermula seawal 6 pagi tidak bersesuaian.
"Datanglah pada bila- bila masa dia mahukan di siang hari kerana rumah tinggal kami tidak berjauhan antara satu sama lain.
"Jika Zahra Rania bermalam di sana, siapa akan menjaga anak kecil ini sewaktu bapanya keluar bekerja kerana Zahra Rania bangun tidur sekitar jam 8 pagi.
"Lagipun Jimmy hanya tinggal seorang diri di rumah," ujarnya.
Muniroh turut mendakwa Jimmy tidak pernah datang ke rumah untuk mengambil anak kecil itu.
"Usahkan datang, telefon dan bertanya khabar pun tidak. Apa pun tidak," katanya dalam prosiding perbicaraan kes perintah pemenjaraan ke atas Nur Suhaila Eliani.
Nur Suhaila Elaini didakwa melanggar perintah Mahkamah Tinggi Syariah membabitkan hak lawatan dan bermalam Jimmy dengan anak perempuannya.
Permohonan itu difailkan Jimmy pada 7 Mei 2013.Nur Suhaila Eliani hadir peguam Syarie, Saadiah Din manakala Jimmy Shanley ditemani peguamnya, Mohd Noor Aizan Md Idrus.Prosiding dijalankan di hadapan Hakim Syarie, Mawardi Che Mat ditangguhkan sehingga 6 September depan. -- Astro Gempak
#Jimmy Shanley #mahkamah syariah #Zahra Rania
;