Jim Carrey disaman berkaitan kematian bekas teman wanita
Agensi
September 20, 2016 10:43 MYT
September 20, 2016 10:43 MYT
Aktor komedi veteran Jim Carrey telah disaman suami kepada bekas teman wanitanya selepas dia didakwa memberi bekalan ubat-ubatan secara haram kepada kepada Cathriona White, 30.
Mark Burton mendakwa Carrey telah membekalkan preskripsi ubat-ubatan palsu kepada White hingga menjejaskan kesihatannya.
Dalam satu tuntutan yang difailkan Burton di Mahkamah Agung, Carrey dikatakan telah menggunakan status selebriti dan kekayaannya untuk mendapatkan dan mengagihkan ubat-ubatan dalam kes ini sehingga boleh membawa maut.
White yang merupakan jurusolek, ditemui mati di apartmennya di Los Angeles pada September 2015, dalam keadaan seumpama membunuh diri.
Portal hiburan TMZ sebelum ini melaporkan Carrey dan White mempunyai hubungan yang tidak menentu sebelum akhirnya terputus seminggu sebelum kematian White.
Namun begitu, dalam tuntutan yang dilakukan Burton, White dikatakan 'masih mempunyai hubungan seksual dengan Carrey’ sehingga kematiannya.
Burton juga mendakwa Carrey menggunakan nama 'Arthur King' untuk mendapatkan bekalan ubat Percocet, Ambien dan Propranolol untuk diberikan kepada White, walaupun aktor berkenaan mengetahui mangsa ‘berdepan dengan kemurungan’ dan ‘pernah melakukan cubaan bunuh diri.’
Selain itu, Carrey juga didakwa menyembunyikan tindakannya yang menyebabkan kematian White dengan menyatakan bekas teman wanitanya itu telah mengambil dadah tanpa pengetahuannya.
Carrey sebelum ini pernah membintangi Dumb and Dumber, Ace Ventura: Pet Detective dan Bruce Almighty pernah mengalami kegagalan perkahwinan beberapa kali.