'Jika saya 'kunyit', kemukakan bukti!' - Hafiz Hamidun
Gempak
Ogos 24, 2017 14:18 MYT
Ogos 24, 2017 14:18 MYT
RENTETAN kemelut yang melanda penyanyi Hafiz Hamidun dan isterinya, Siti Arifah Mohd Amin atau Joy Refva, ada sesetengah pihak yang melabelkan Hafiz sebagai 'kunyit'.
Penyanyi lagu Jodoh Berdua ini tidak teragak-agak untuk menjawab tuduhan sesetengah pihak yang melabelnya 'kunyit'.
"Kalau ada pihak yang buat tuduhan seperti itu dan melabelkan saya dengan gelaran tersebut, dia perlu bertanggungjawab dan kemukakan bukti.
"Jika berlakunya unsur-unsur yang tidak tepat, saya anggap itu fitnah. Saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan perundangan atau saman," kata Hafiz.
Hafiz ditemui di sebuah sidang media yang berlangsung di pejabat urusan Arteffects International semalam.
Tambah Hafiz, dia kesal dengan cara isterinya berhadapan dengan situasi sebegini.
"Perkara sebegini seharusnya boleh diselesaikan secara tertutup dan senyap-senyap oleh kami berdua sahaja. Namun begitu, sekarang sudah berbeza. Semuanya sudah terbuka dan didedahkan apabila dia memuat naik status ke laman sosial miliknya.
"Selama ini, saya mengambil pendekatan berbeza. Saya senyap sahaja dan saya sendiri tidak pernah memberikan sebarang kenyataan di laman sosial.
"Malah, saya juga tidak membalas sebarang kenyataan yang diberikan pihak sebelah sana. Berbalas kenyataan bukan cara saya untuk menyelesaikan perkara ini," katanya lagi.
Sebelum ini, Joy telah memfailkan faraq atau pembubaran pernikahan di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 18 Ogos 2017. Kes akan disebut semula pada 14 September ini.
Permohonan pembubaran dibuat mengikut Seksyen 61(3)(b)(1) dan Seksyen 62(1)(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003.
Terdahulu, Hafiz dan Joy mendirikan rumah tangga di Masjid Negeri, Shah Alam pada 1 Mei 2017 dengan sekali lafaz.
Joy pernah berkahwin sebelum ini dengan Datuk Mohd. Rayos Abdul Rahim dan mempunyai seorang anak lelaki bernama Arryan Firdaus yang kini berusia tiga tahun. - Teks oleh: Kamaruddin Razal
#Hafiz Hamidun
#Jodoh Berdua
#Joy Refva
#Masjid Negeri
#Mohd Rayos Abdul Rahman
#shah alam
#Siti Arifah Mohd Amin