Jihan teruja mengacara ASK2017 dengan perut 'boyot'
Gempak
Oktober 18, 2017 11:18 MYT
Oktober 18, 2017 11:18 MYT
PELAKON dan pelawak Jihan Muse akui teruja apabila diberi kepercayaan untuk menjadi pengacara Anugerah Skrin 2017 (ASK2017) yang bakal berlangsung November depan.
Ujar Jihan, tawaran itu turut melakar momen indah dalam diari hidupnya apabila menggalas tugas pengacara dalam keadaan perut 'memboyot' kerana mengandung.
"Perasaan teruja. Ini merupakan kali pertama saya menjadi pengacara dalam keadaan ini (memboyot) dan kita sama-sama tengok nanti macam mana keadaannya.
"Digandingkan pula dengan Fahrin Ahmad dan Shuk, pasti menyeronokkan," katanya ketika sesi sidang media ASK2017 yang berlangsung di Hotel Marriot, pada Selasa.
Jihan, Fahrin Ahmad dan Shuk Balas diberi kepercayaan untuk menjadi pengacara ASK 2017 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pada 3 November ini.
Mengangkat tema Mencipta Fenomena, anugerah kali ini mempertaruhkan 33 kategori antaranya Pengarah Drama Terbaik, Drama Terbaik, Filem Terbaik dan Pelakon Komedi Terbaik.
Manakala antara barisan penyampai anugerah trofi pada malam itu adalah Neelofa, Fattah Amin, Zul Ariffin, Rozita Che Wan dan Shukri Yahya.
Malam berprestij itu juga bakal diserikan dengan persembahan daripada Nora Ariffin, Auda Jebat, Hael Husaini, Jaclyn Victor, Haqiem Rusli dan Akim & The Majistret.
Dalam pada itu, ASK2017 kali ini turut menganjurkan Majlis Prelude ASK2017 yang akan berlangsung pada jam 5 petang hari yang sama.
Majlis tersebut akan mengumumkan 13 anugerah awal iaitu Videografi Drama Terbaik, Penyunting Drama Terbaik, Drama Rantaian Popular, Rancangan Dokumentari Terbaik dan Rancangan Bual Bicara Terbaik.
Foto: Instagram @jihanmuse