Jennie Blackpink dikecam, didakwa langgar SOP COVID-19

Astro Awani
April 30, 2021 12:10 MYT
Bintang K-pop terkenal daripada kumpulan Blackpink, Jennie baru-baru ini dikecam atas tuduhan melanggar peraturan penjarakan sosial. -Gambar fail
BINTANG K-pop terkenal daripada kumpulan Blackpink, Jennie baru-baru ini dikecam atas tuduhan melanggar peraturan penjarakan sosial.
Kekecohan terjadi apabila Jennie memuat naik gambar lawatannya ke sebuah arboretum di bandar Paju pada 14 April lalu.
Hantaran itu menunjukkan dia dan enam rakan sedang memegang ais krim.
Gambar itu lantas menjadi perdebatan netizen apabila prosedur operasi standard (SOP) di Korea hanya membenarkan maksimum lima orang sahaja dalam satu kumpulan.
Tambah memeritkan lagi apabila dia turut dilihat bergambar tanpa memakai pelitup muka.
Apabila kecaman terhadapnya semakin meningkat, Jennie dengan segera memadamkan hantarannya asalnya itu.
Pada 16 April, pihak arboretum berkenaan menyiarkan kenyataan di blog rasmi memaklumkan bahawa Jennie dan krunya mengunjungi premis itu untuk pembikinan video YouTube.
Pejabat bandar raya Paju dalam pada itu mengesahkan perkara itu dan memaklumkan agensi tersebut telah menyerahkan borang permohonan dan persetujuan untuk menggunakan lokasi penggambaran terlebih dahulu.
Namun, perdebatan tentang isu itu terus hangat apabila netizen mempertikaikan alasan itu.
Jennie bukan satu-satunya artis K-pop yang menjadi perhatian dek isu pelanggaran SOP COVID-19.
Beberapa artis lain turut menerima tempias, antaranya G-Dragon yang dilaporkan merokok di khalayak ramai, U-Know Yunho yang berada di luar selepas waktu dibenarkan, dan Cha Eun-woo yang bergambar dengan sekitar 100 kru drama True Beauty.
#Jennie #BLACKPINK #pelitup muka #penjarakan sosial #ais krim #arboretum #Paju #langgar SOP #COVID-19 #Korea Selatan
;