Jenazah Zaibo selamat dikebumikan

Shahrul Hassan
November 14, 2018 22:34 MYT
Gambar kenangan Zaibo bersama isterinya, Siti Hawa Sawal ketika berkahwin lapan tahun lepas. - BERNAMA
Jenazah pelakon dan pelawak tanahair, Zaibo atau Zainal Ariffin Abd Hamid, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rengit pukul 9 malam tadi.
Jenazah tiba di tanah perkuburan kira-kira pukul 9.10 minit malam selepas selesai disembahyangkan di Masjid Pekan Rengit.
Selain keluarga, teman rapat, rakan seni turut kelihatan mengiringi jenazah ke tanah perkuburan sebagai penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Antara yang hadir, penulis lirik, Datuk Habsah Hassan, pelakon Rubiah Suparman dan pelawak, Mamat Sepah.
BACA: Zaibo takbir tiga kali sebelum rebah
BACA: "I'm sorry, Uncle Zaibo" - Wardina Safiyyah
BACA: 'Allahyarham lesu, berkelakuan berbeza semalam' - Isteri Zaibo
Allahyarham pernah membintangi sitkom Spanar Jaya dan filem Anna and the King.
Dua hari lepas, Tuanku Puteri Johor Tunku Tun Aminah Maimunah Sultan Ibrahim bersama suami, Dennis Muhammad Abdullah berkenan meluangkan masa melawat Allahyarham di kediamannya.
Zaibo, 62 tahun, meninggal dunia pada 1.30 petang tadi di kediamannya di Rengit akibat kanser esofagus.
Penyakitnya mula dikesan pada 3 Sept lalu.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) Datuk DJ Dave yang turut hadir di pengebumian malam tadi menyifatkan Allahyarham sebagai seorang rakan artis yang disenangi dan murah dengan senyuman.
"Dia memang selalu buat orang ketawa dan memang fasih berbahasa Inggeris, dia boleh ‘joke’ dalam Bahasa Inggeris dan juga Bahasa Melayu. We are going to miss him.
"Kita akan merindui wataknya sebagai pelawak dan penghibur… ia memang satu kehilangan besar," katanya.
DJ Dave turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga Allahyarham bagi meringankan beban keluarganya.
#DJ Dave #meninggal dunia #Zaibo #Zainal Ariffin Abd Hamid
;