Jenazah pelakon Kamal Bakar selamat dikebumikan
Bernama
Jun 25, 2024 18:45 MYT
Jun 25, 2024 18:45 MYT
MELAKA: Jenazah pelakon veteran Kamarulzaman Bakar atau lebih dikenali Kamal Bakar, 62, selamat dikebumikan di Taman Perkuburan Islam Bukit Baru kira-kira pukul 2.20 petang tadi.
Jenazah Allahyarham terdahulu disolatkan di Masjid Al-Ehsan, Bukit Baru yang turut disertai lebih 500 jemaah terdiri ahli keluarga, sahabat handai dan orang ramai.
Pelakon yang pernah popular dengan drama persilatan pada 1990-an itu disahkan meninggal dunia pukul 1.10 pagi tadi ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka akibat kanser paru-paru tahap empat.
Sementara itu, anak sulung Allahyarham yang juga pelakon Muhammad Hanis Kamal, 35, berkata arwah bapanya dikejarkan ke hospital itu pada 3 Jun lepas apabila tidak menunjukkan respons selepas selesai menunaikan solat Asar.
"Sebelum ini ayah kelihatan sihat seperti biasa tetapi kebelakangan ini arwah mengalami batuk berpanjangan dan menolak ketika kami mahu membawanya ke klinik untuk mendapatkan rawatan.
"Selepas lapan hari dirawat, doktor memaklumkan keadaannya kronik serta ayah disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat dan telah merebak ke beberapa bahagian lain," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Muhammad Hanis berkata ayahnya yang juga kakitangan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka telah berpencen lebih setahun lalu dan masih aktif berlakon dalam beberapa drama.
Beliau berkata walaupun sedih dengan kehilangan bapanya yang agak drastik, namun mereka reda dengan pemergian arwah di samping menzahirkan rasa terima kasih kepada semua pihak yang hadir menziarahi dan mendoakannya.
Sementara itu rakan seangkatan arwah, Fadilah Mansor, 65, berkata pemergian arwah merupakan satu kehilangan besar kerana beliau seorang yang profesional dan berdisiplin.
Menurut Fadilah, arwah seorang yang baik hati dan selalu menolong orang lain sejak mengenalinya lebih 30 tahun lalu dan pernah membintangi beberapa drama bersama arwah.
"Saya tidak sangka dan terasa dengan pemergiannya, dan hari ini rezeki saya dapat menziarahinya buat kali terakhir kerana secara kebetulan ada kerja di Melaka," katanya.
Selain Fadilah, antara selebriti yang hadir bagi memberikan penghormatan terakhir termasuklah penyanyi Haida Hasnan, pengarah Aziz M Osman dan pelakon Mubarak Majid.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Sarinah Shariff, 55, dan empat anak lelaki serta seorang perempuan.
Allahyarham berkecimpung dalam bidang lakonan sejak era 1970-an dan antara drama lakonannya ialah Pendekar, Andai Itu Takdirnya, Orang Minyak, Suami Aku Ustaz dan Ratu Ten Pin.
-- BERNAMA