Jenazah M. Daud Kilau tiba di Masjid Tuminah Hamidi
Ridauddin Daud
Disember 19, 2023 09:30 MYT
Disember 19, 2023 09:30 MYT
BAGAN DATUK: Jenazah penyanyi legenda tanah air, Datuk M. Daud Kilau tiba di Masjid Tuminah Hamidi, di sini, pada sekitar pukul 9.17 pagi ini.
Mengiringi jenazah ke masjid berkenaan ialah ahli keluarga, saudara-mara serta kenalan Allahyarham.
Astro AWANI difahamkan, jenazah seniman itu akan dimandikan selepas waktu Zohor sebelum dikebumikan di Kampung Sungai Baroh, di sini, terletak kira-kira 20 minit perjalanan dari masjid.
Sela masa kira-kira empat jam antara waktu jenazah tiba dan disolatkan adalah untuk memberi waktu kepada keluarga, saudara dan rakan-rakan memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Allahyarham M. Daud kembali ke rahmatullah pada jam 4.46 petang Isnin di Hospital Teluk Intan pada usia 85 tahun.
Beliau meninggal dunia akibat kencing manis, darah tinggi dan komplikasi jantung.
Anak jati Bagan Datuk, Perak itu aktif dalam bidang seni selepas menjuarai Bintang Radio di Singapura pada 1968 mendendangkan lagu Musalmah Manis dan Joget Hitam Manis.
Selain lagu Cek Mek Molek dan Sirih Pinang, Allahyarham M. Daud juga sangat masyhur dengan lagu Anak Derhaka, Gila Judi dan Pening yang dirakam bersama penyanyi Ezlynn pada 2003.