Jenazah komposer Suci Dalam Debu Wan Zul selamat dikebumikan
Astro Awani
Oktober 13, 2022 19:07 MYT
Oktober 13, 2022 19:07 MYT
KEMAMAN: Jenazah komposer terkenal Che Wan Zulkifli Che Wan Abdul Ghani, 61, atau lebih dikenali sebagai Wan Zul selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kijal, di sini kira-kira jam 2.30 petang tadi.
Allahyarham Che Wan Zulkifli menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 2.30 pagi tadi di Hospital Kemaman kerana jangkitan kuman pada paru-paru akibat penyakit melioidosis.
Menurut anaknya Che Wan Nur Adli Che Wan Zulkifli, 31, sejak Isnin lalu bapanya telah ditidurkan kerana keadaan kesihatannya yang merosot.
"Dekat pukul enam itu saya tengok dia tercungap- cungap dah, nafas dia laju dah, tak ada orang jaga masa itu. Memang mak pun balik kejap. Dia cungap-cungap, lepas itu beritahu kepada doktor apa semuanya (sebelum ditidurkan)," katanya ketika ditemui hari ini.
Sementara itu bekas pemain dram kumpulan Iklim, Kamaruddin Ibrahim, 58, menyifatkan pemergian Che Wan Zulkifli merupakan kehilangan terbesar buat industri muzik negara.
"Saya sangat sedih, saya kehilangan seorang yang menaikkan kumpulan iklim, dan saya mewakili rakan-rakan berdoa semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman," katanya.
Arwah Che Wan Zulkifli meninggalkan seorang isteri, Tengku Siti Famah dan sepasang anak iaitu Che Wan Nursyikin dan Che Wan Nur Adli.
Kariernya sebagai komposer menyaksikan Allahyarham mencipta lagu popular kumpulan iklim iaitu Suci Dalam Debu, Aduhai Seribu Kali Sayang dan Biografi Cinta Luka.
Allahyarham turut mencipta lagu popular lain seperti Hanya Satu Persinggahan (Ekamatra), Antara Sutra dan Bulan (Damasutra), Kerana Takdir (Saleem), Itulah Cintaku (Ilusi) dan beberapa lagu lain.