Jenazah komposer Adnan Abu Hassan selamat dikebumikan
Bernama
Mac 18, 2016 16:00 MYT
Mac 18, 2016 16:00 MYT
Jenazah komposer terkenal tanah air Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan, 57, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Sungai Ramal Dalam, Kajang, di sini, hari ini.
Jenazah dikebumikan bersebelahan kubur bapanya Allahyarham Abu Hasan pada kira-kira pukul 10 pagi tadi dengan dihadiri anggota keluarga, rakan artis dan penduduk kampung.
Terdahulu, jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Al-Falah di Kajang sebelum dikebumikan di tanah perkuburan berkenaan.
Menurut isteri Allahyarham, Rozinor Hafiza Mohd Fauzi, 38, arwah tidak bercakap sepatah perkataan pun sejak dimasukkan ke dalam Unit Rawatan Rapi, Hospital Selayang pada malam Rabu lepas.
"Dia (Adnan) tidak bercakap sepatah perkataan pun sehinggalah menghembus nafas terakhir pada kira-kira 2.15 pagi tadi... kalau saya kejutkan arwah, dia hanya keluarkan air mata," katanya kepada Bernama hari ini.
Rozinor yang mendirikan rumah tangga dengan komposer terkenal itu pada 2009 menyifatkan arwah sebagai seorang yang sangat mudah memberi pertolongan jika diperlukan untuk melakukan sesuatu perkara.
"Arwah juga seorang yang sangat penyayang kepada keluarga khususnya terhadap kebajikan anak-anak," katanya yang mempunyai anak anak perempuan masing-masing berusia 15 dan 13 tahun hasil perkahwinannya terdahulu.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan Artis 1Malaysia Datuk DJ Dave menyifatkan pemergian Allahyarham Adnan sebagai satu kehilangan yang besar bukan saja kepada anggota keluarganya malah dalam industri muzik negara.
Katanya, arwah merupakan seorang komposer yang berbakat besar dan banyak mencipta lagu genre balada antaranya 'Memori Cinta Luka' 'Bunga-bunga Cinta' dan 'Jerat Percintaan'.
"Banyak artis bernaung di bawah Allahyarham antaranya Nassier Wahab dan Misha Omar yang membawa lagu-lagu indah ciptaannya.
"Pemergian Allahyarham merupakan satu perkara yang mengejutkan kerana semalam saya sempat melawat dia (Adnan) di Hospital Selayang dan dia berada dalam keadaan stabil walaupun tidak sedarkan diri," kata penyanyi itu.
Seorang daripada anak didiknya yang merupakan penyanyi tersohor negara, Misha Omar, 34, menganggap arwah sebagai bapa keduanya kerana banyak membantunya ketika beliau mula menceburi industri hiburan kira-kira 15 tahun lepas.
Menyifatkan arwah sebagai seorang yang pandai membuat jenaka, katanya selepas beliau menyertai pertandingan akhir Bintang RTM 2001, arwah merupakan antara insan seni pertama yang mengesan bakat besarnya sungguhpun gagal menjuarai pertandingan itu.
"Lagu pertama saya iaitu Bunga-Bunga Cinta merupakan lagu pertama saya yang dicipta oleh arwah dan tidak menyangka lagu itu membawa tuah kepada perjalanan karier saya," katanya
Penyanyi Nassier Wahab, 54, yang juga merupakan anak didik Adnan menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang mudah bekerja dengan rakan-rakan yang lain.
"Sepanjang saya bernaung di bawah Allahyarham telah menghasilkan lima buah lagu solo dan satu lagu duet," katanya yang mengenali arwah lebih 20 tahun lepas sejak menceburi bidang nyanyian.
Adnan, komposer dan penulis lirik terkenal tanah air meninggal dunia di Hospital Selayang pada kira-kira pukul 2.15 pagi ini akibat komplikasi pelbagai penyakit yang dihidapinya.
#Adnan Abu Hassan
#komposer terkenal
#Rozinor Hafiza Mohd Fauzi
#Sungai Ramal Dalam
#tanah perkuburan Islam