Jenazah Bob Lokman selamat dikebumikan

Vivi Sumanti
September 23, 2022 23:57 MYT
Jenazah Bob Lokman atau Mohd Hakim Lokman selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam kampung Pulai Hilir, Kubang Kerian sekitar jam 9.30 malam. - Foto BERNAMA
KOTA BHARU: Jenazah penulis lirik, pelawak dan pelakon Allahyarham Mohd Hakim Lokman atau Bob Lokman, 58 tahun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam kampung Pulai Hilir, Kubang Kerian sekitar jam 9.30 malam tadi.
Hujan renyai-renyai mengiringi pengebumian Allahyarham Bob Lokman dengan dihadiri ahli keluarga dan kenalan.
Turut hadir ialah penyanyi, Datuk M Nasir dan isteri, Datin Marlia Musa.
Terdahulu jenazah Bob yang selesai dikafan dan dimandikan di unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian petang tadi dibawa ke masjid Pulai Hilir.
Jemaah masjid yang selesai menunaikan solat isyak kemudiannya menyembahyangkan jenazah Bob sebelum dibawa ke tanah perkuburan untuk disemadikan.
Menurut anak keduanya, Omar Hakim, 28, ayahnya menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 2 petang tadi di kediamannya di kampung Demit di sisi isteri Relawati Daud dan anak anak.
Omar berkata kondisi ayahnya mulai merosot sejak seminggu lalu namun semalam keadaannya bertambah teruk sehingga Allahyarham dipercayai menghembuskan nafas terakhir sewaktu dalam tidur.
"Kesihatan ayah semakin merosot sejak seminggu lalu, namun malam tadi bertambah teruk sehingga ke pagi tadi.
"Ayah tidur pada jam 11 pagi tadi sehinggalah saya menyedari ayah telah tiada sekitar jam 2 petang," katanya ketika ditemui dikediamannya.
Allahyarham Bob Lokman menghadapi komplikasi jantung dan pernah menjalani pembedahan membetulkan degupan jantung cardiac resynchronization therapy & defibrillator (CRTD) pada awal 2020.
Beliau menetap bersama anak dan isteri di kampung halamannya di kubang kerian sejak lebih tiga tahun lalu selepas kesihatannya merosot.
Sementara itu, M Nasir yang ditemui di tanah perkuburan malam tadi menyifatkan Allahyarham Bob sebagai seorang rakan yang dianggap sebagai adik-beradik.
"Sudah pasti suatu kehilangan, Bob ni, tak ada orang macam dia, dia istimewa.
"Saya mula bertemu (Allahyarham) pada tahun 80an sebelum dia menjadi pengurus kumpulan Wing. Semasa bersama Wing, saya masih rapat dengan arwah," katanya.
"Allahyarham Bob ni ketika mengarang lagu, dia punyai pendiriannya sendiri, buat seni kata berdasarkan pemikiran sendiri berdasarkan pengajian dia dan penyabar, nasib dia baik kerana setiap lagu yang dia buat jadi 'hit'," katanya lagi.
#jenazah Bob Lokman #Bob Lokman #kebumi #Semadi #Mohd Hakim Lokman #Tanah Perkuburan Islam Pulau Bunut #Kubang Kerian
;