Jenazah Alif dikebumi esok selepas bedah siasat
Saharudin Musthafa
Disember 14, 2019 18:32 MYT
Disember 14, 2019 18:32 MYT
Jenazah Allahyarham Muhammad Syakir Alif Johan yang juga anak kepada penyanyi ternama, Nora akan dikebumikan esok selepas solat Zohor.
Menurut Nora, jenazah Alif akan terlebih dahulu menjalani proses bedah siasat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada sebelah pagi,
"Assalammualaikum semua... maklumat terkini esok anak saya akan dipost-mortem dulu... Insya-Allah lepas selesai, lepas Zohor jenazah anak saya akan dibawa ke masjid Kampung Tunku... Insya-Allah," kata Nora ketika berkongsi perkara itu di akaun media sosialnya.
BACA: Anak Nora Ariffin meninggal dunia
BACA: "Alif hantar ke airport pagi tadi" - Nora kenang pertemuan terakhir dengan anaknya
Nora juga berkata, jenazah Allahyarham Alif akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini berdekatan dengan pusara suaminya, Allahyarham Johan Nawawi.
Allahyarham Alif, 20, menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke PPUM pada pagi Sabtu.
Alif sebelum itu dilaporkan rebah di kediaman keluarganya di Petaling Jaya, Selangor.
Nora yang juga penyanyi lagu Di Persimpangan Delima berada di Singapura ketika menerima khabar duka pemergian anak keduanya itu.
Sejurus dimaklumkan mengenai pemergian Alif, Nora segera kembali ke tanah air.
Dalam perbualan dengan Astro AWANI, Nora berkata, pada sebelah pagi, Allahyarham Alif menghantarnya ke lapangan terbang dan itu merupakan pertemuan terakhir dua beranak itu.
Pada 24 Mac 2017, Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Wan Ariffin kehilangan suaminya, Allahyarham Johan Nawawi yang juga seorang komposer ternama tanah air.