Jelajah Siti Nurhaliza on Tour bermula di Jakarta

Malik Ridhwan
Februari 21, 2019 06:35 MYT
Siti berkata dia sengaja membawa lagu tradisional sebagai pembuka konsert kerana Malaysia dan Indonesia disatukan dalam satu keluarga yang sama. - Instagram rozisangdewi
Penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza membuka tirai pentas jelajah tiga negara Asianya di Jakarta, Indonesia, pada Khamis malam.
Kira-kira 3,000 peminat dari dalam dan luar republik itu tidak ketinggalan untuk menyaksikan Konsert Siti Nurhaliza on Tour di Istora Senayan Jakarta.
Selepas enam tahun, penyanyi Anta Permana itu kembali ke Indonesia dengan sebuah konsert yang berskala besar.
“Indonesia begitu istimewa di hati saya, bagaikan rumah kedua untuk saya. Malah Indonesia merupakan lokasi pertama untuk jelajah kali ini,” kata Siti ketika membuka tirai persembahan.
Malah ramai juga Sitizoners dari Malaysia, Singapura dan Brunei terbang ke Jakarta khas untuk menonton penyanyi kegemaran mereka beraksi di pentas Indonesia.
Segmen pertama konsert Siti dimulakan dengan lagu-lagu tradisional seperti Badarsila, Joget Berhibur, Joget Kasih tak Sudah dan Nirmala.
Lagu-lagi ini merupakan ‘penghubung’ bagi Indonesia dan Malaysia, kata Siti.
“Saya sengaja memberikan lagu tradisional sebagai pembuka konsert kerana kita semua (Malaysia dan Indonesia) disatukan dalam satu keluarga yang sama,” tambahnya.
Bagi Siti, irama lagu Melayu dapat menyatukan Indonesia dengan negara berjiran lain melalui muzik.
Jelajahnya kali ini menterjemahkan perjalanan muzik beliau yang mengimbas memori dan kenangan sejak awal kariernya pada awal 90-an.
Antara segmen lain yang dipersembahkan oleh Siti termasuk balada, akustik dan moden.
Konsert yang berlangsung kira-kira dua jam itu turut menampilkan penyanyi kegemaran rakyat tempatan, Tulus sebagai artis jemputan yang berduet menerusi lagu Seindah Biasa.
Sepanjang konsert berlangsung, penonton terus bersorak dan menyanyikan bersama lagu-lagu popular di Indonesia seperti Cindai.
Antara lagu-lagu lain yang dinyanyikan Siti termasuk Biarlah Rahsia, Percayalah, Bukan Cinta Biasa, Indah Percintaan, Anta Permana dan banyak lagi.
Lokasi seterusnya bagi jelajah kali ini adalah Singapura pada 2 Mac dan Kuala Lumpur pada 16 Mac.
Bukan sekadar tiga negara Asia, tetapi penyanyi berusia 40 tahun itu juga akan kembali ke Royal Albert Hall, London buat kali kedua pada 22 April ini.
Keseluruhan jelajah Siti Nurhaliza on Tour akan dirakam dan diterbitkan sebuah dokumentari berjudul They Call Me Siti.
#Anta Permana #ASEAN #Bukan Cinta Biasa #Cindai #Istora Senayan #Jakarta #konsert #Melayu #Nirmala #Royal Albert Hall #Saudara Serumpun #Siti Nurhaliza #Siti Nurhaliza on Tour #Sitizoners #Tulus
;