Jasmin Hamid kena serangan jantung, kini ditempatkan di CCU
Hasimi Muhamad
Jun 1, 2022 10:10 MYT
Jun 1, 2022 10:10 MYT
PELAKON versatil, Jasmin Hamid dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU) setelah mengalami serangan jantung.
Perkara itu disahkan suami pelakon itu, Nazmir Abd Rahman dalam hantaran di akaun Instagram milik Jasmin.
Menurut Nazmir, Jasmin atau nama sebenarnya Jasmiah Abdul Hamid, 48, mengalami serangan jantung buat pertama kali semalam.
“Saya suami Jasmin nak beritahu keadaan terkini Jasmin.
“Sekarang dia berada di wad CCU, bukan ICU (Unit Rawatan Rapi) kerana serangan jantung semalam,” tulisnya dalam kemas kini tersebut, pada Rabu.
Nazmir, 36, menambah sejarah keluarga pelakon filem "Boss" dan "Kanta Serigala" itu juga ada masalah sakit jantung.
Katanya lagi, tekanan darah dan degupan jantung Jasmin berada pada tahap yang agak rendah.
Jelas Nazmir, doktor terpaksa memberikan bantuan ubat untuk mengepam aliran darah ke jantung Jasmin.
Sehubungan itu, dia memohon agar orang ramai mendoakan kesembuhan isterinya itu.
Pada Ogos 2019, Jasmin memaklumkan adik lelakinya dimasukkan ke ICU kerana mengalami serangan jantung.