Jasmin Hamid kembali bergelar isteri, nikahi pembantu peribadi

Astro Awani
November 20, 2021 12:37 MYT
Pada majlis akad nikah yang berlangsung semalam, Jasmin dihadiahkan mas kahwin RM80 dan sepersalinan alat solat seperti telekung dan sejadah daripada suaminya, Nazmir. - Gambar Instagram JASMIN HAMID
KUALA LUMPUR: Kalau sudah namanya jodoh, perbezaan usia bukan halangan untuk mana-mana pasangan yang saling mencintai disatukan sebagai suami isteri.
Demikian juga dengan takdir yang sudah tertulis buat pelakon terkenal tanah air, Jasmin Hamid yang bertemu jodoh kali kedua dengan lelaki yang 12 tahun lebih muda daripadanya.
Selepas 10 tahun memegang status sebagai ibu tunggal selepas bercerai dengan suami pertama, Jasmin, 47, kembali hidup berteman di samping Nazmir Abd Rahim, 35.
Jasmid dan Nazmir yang juga pembantu peribadinya (PA) disatukan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada Jumaat.
Pada majlis itu, Jasmin dihadiahkan mas kahwin RM80 dan sepersalinan alat solat seperti telekung dan sejadah.
Berkongsi kisah perkenalan dengan Nazmir sehingga membawa ke alam perkahwinan, Jasmin berkata, tidak pernah terlintas di fikirannya akan bertemu jodoh dengan lelaki yang jauh lebih muda daripadanya.
Bahkan, untuk disunting sebagai isteri oleh orang yang terdekat dalam lingkaran kehidupannya juga tidak pernah difikirkannya.
"Kami tak pernah bercinta. Selama lapan tahun dia menjaga saya sebagai pembantu peribadi saya. Dia tahu segalanya, baik buruk saya. Begitu juga saya. Malah sebelum ini pun masing-masing pernah berkawan dengan orang lain. Jadi, memang tidak pernah menjangka sama sekali untuk ke fasa ini.
"Sebab itu saya selalu cakap, belajar nak menjadi orang beriman bukan senang. Jadi kita kena percya jodoh, rezeki, ajal, maut semua dripada Allah. Kiranya yang sebelum ini bercinta, bukan yang terbaik Allah nak berikan pada saya. Sebab bukan jodoh," kata Jasmid berkongsi kisah dengan portal Harian Metro.
Bagi Jasmin juga, untuk kembali membuka hati kepada orang lain selepas lebih sedekad bergelar ibu tunggal bukan satu keputusan yang mudah.
"Saya sudah solo lebih 10 tahun. Bukan senang nak buka hati pada orang lain. Orang datang dan pergi dalam hidup saya. Bukan senang nak terima tanggungjawab ini. Saya sudah lama lepaskan tanggungkawab.
“Sekarang nak 'refresh' kembali. Cuma ringanya, dia tahu saya, saya tahu dia. Dia tulang belakang saya selama ini. Dia nampak susah senang saya.
"Dia pun sudah umur berapa. Kami cuma nak dapatkan reda dan pahala Allah. Nak elakkan fitnah. Takut jika amal ibadat tak sampai. Sebab itu perlu halalkan hubungan ini. Walaupun orang tahu dia PA saya,” kata Jasmin lagi sambil memaklumkan perancangan pernikahan dengan Nazmir hanya dibuat sekitar sebulan lalu.
Jasmin sebelum ini pernah mendirikan rumahtangga dengan Ian Rashid Macquistan sehingga dikurniakan seorang anak lelaki, Ian Haziq yang kini berusia 20 tahun.
Bagaimanapun, Jasmin dan Ian Rashid berpisah pada 2008.
Jasmin juga mempunyai dua anak angkat iaitu Rohana dan Lukhman Hakim.
#Jasmin Hamid #Jasmin Hamid kembali bergelar isteri #Nazmir Abd Rahim #Jasmid nikahi pembantu peribadi
;