Jari Neelofa berinai merah! Bayangan majlis perkahwinan semakin jelas...

Hasimi Muhamad
Mac 25, 2021 13:21 MYT
Pada hujung Januari lalu, Neelofa ada memberi bayangan bakal mengumumkan tarikh pernikahan mereka, namun, tiada sebarang pengumuman dibuat - Gambar Instagram Neelofa
KUALA LUMPUR: NAMPAKNYA 'bau nasi minyak' perkahwinan usahawan dan selebriti terkenal negara, Neelofa dengan pasangannya, PU Riz semakin kuat!
Semalam Astro AWANI melaporkan gadis berasal dari Pasir Mas, Kelantan itu akan melangsungkan majlis akad dalam sebuah majlis tertutup pada Sabtu dan hari ini berita gembira itu semakin kencang bertiup.
Menerusi kemaskini di Instagram Story milik juara Dewi Remaja 2009/10 itu, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor dilihat memberi bayangan seolah-olah sudah pun bersiap sedia menghitung hari untuk bergelar isteri kepada PU Riz atau Haris Ismail.
Sementara menerusi video yang dimuat naik lebih kurang dua jam lalu, Astro AWANI mendapati jari pengasas syarikat Naelofar Hijab dan Nilofa Group dilihat sudah berinai warna merah.
Inai dijari Neelofa, 32, kelihatan begitu ketara ketika beliau sedang mempromosikan produk makanan tambahan, Markaz Tijaari.
Kebiasaannya majlis malam berinai menjadi simbolik kepada bakal mempelai yang mahu mendirikan rumah tangga.
Dalam laporan pada Rabu, sumber memaklumkan kepada Astro AWANI bahawa pasangan berkenaan akan melangsungkan majlis akad di sebuah hotel lima bintang di sekitar lingkaran Kuala Lumpur City Centre (KLCC).
Jelas sumber Astro AWANI, segala persiapan sedang dijalankan dan Neelofa turut dikatakan memilih perunding perkahwinan sama yang mengendalikan majlis pernikahan kakaknya, Noor Nabila minggu lalu.
Sementara itu, semakan Astro AWANI di laman Instagram yang dipercayai milik sepupu Neelofa, CT Ray turut mendapati pengikut Instagram wanita itu mengajukan soalan berhubung kepulangannya pada majlis perkahwinan Neelofa.
"Anda tidak pulang pada majlis perkahwinan Neelofa?" tanya pengguna Instagram tersebut, sebelum dijawab oleh CT Ray bahawa dia tidak pulang dalam masa terdekat memandangkan sempadan negara masih ditutup.
BACA: Neelofa, PU Riz naik pelamin Sabtu ini?
CT Ray ketika ini dipercayai menetap di selatan Australia.
Hubungan Neelofa dan PU Riz sentiasa menjadi sorotan media tempatan sejak beberapa bulan lalu kerana mereka juga tidak terlepas melalui pelbagai ujian dan cabaran.
Pada hujung Januari lalu, Neelofa ada memberi bayangan bakal mengumumkan tarikh pernikahan mereka, namun, tiada sebarang pengumuman dibuat.
Sama ada betul atau tidak perkhabaran ini, namun yang pasti ia akan menjadi perkahwinan yang dinanti-nantikan oleh para peminat Neelofa. Kami di Astro AWANI mendoakan yang terbaik untuk Neelofa dan PU Riz!
#Neelofa kahwin #Jari Neelofa berinai #PU Riz #Neelofa dan PU Riz #Instagram #Noor Nabila #Engku Emran
;