“Janganlah main sentimen itu" - Fattah ada bukti transaksi nafkah untuk Fazura, Fatima

Faida Rahim
Oktober 7, 2024 12:51 MYT
Dalam masa sama, Fattah (kanan) turut menyangkal dakwaan menerima hadiah kereta mewah jenis Range Rover daripada bekas isterinya itu. - Foto Astro AWANI
PETALING JAYA: Pelakon Fattah Amin kesal dengan kenyataan bekas isterinya, Nur Fazura yang mendakwa dirinya mengabaikan tanggungjawab tidak memberikan nafkah.

Ringkasan AI
  • Tuduhan nafkah: Pelakon Fattah Amin menafikan tuduhan bekas isterinya, Nur Fazura, bahawa dia mengabaikan tanggungjawab memberikan nafkah, dengan menyatakan bahawa dia mempunyai bukti transaksi bank.
  • Hadiah kereta: Fattah turut menyangkal dakwaan menerima hadiah kereta mewah daripada Fazura, menjelaskan bahawa kereta tersebut dibayar melalui gajinya yang ditolak oleh syarikat tempat dia bekerja.
  • Hak jagaan anak: Fattah meluahkan rasa kesal kerana puteri tunggal mereka, Nur Fatima Aisya, terpaksa menghadapi situasi ini, dan menjelaskan bahawa hak jagaan anak sepenuhnya di bawah Fazura, dengan Fattah mendapat hak lawatan dan bermalam.

Fattah menegaskan, dia mempunyai bukti transaksi yang menunjukkan dia menjalankan amanah sebagai suami dan bapa.
“Janganlah main sentimen itu. Saya ada bukti penyata bank mengenai ke mana wang saya dikeluarkan. Mungkin dia rasa tak cukup untuk dia, tapi jangan cakap saya tak bagi nafkah kerana sebagaimana yang kita semua tahu nafkah adalah perkara asas dalam perkahwinan ikut kemampuan,” katanya.
Dalam masa sama, Fattah turut menyangkal dakwaan menerima hadiah kereta mewah jenis Range Rover daripada bekas isterinya itu.
“Dia hadiahkan kepada saya? Salah tu. Itu daripada syarikat kerana saya bekerja dengan syarikat Fazura. Semua orang tahu saya bekerja dengan syarikatnya.
“Gaji saya ditolak untuk membayar kereta itu. Jangan ungkit benda yang tidak sepatutnya,” katanya.
“Sebenarnya gaji saya ditolak untuk membayar kereta Range Rover. Janganlah ungkit benda yang tidak sepatutnya,” katanya.
Jaga aib, jangan sebar fitnah antara satu sama lain
Sementara itu, Fattah meluahkan rasa kesal apabila puteri tunggalnya, Nur Fatima Aisya terpaksa mengharungi ujian ini.
“Saya kesal Fatima terpaksa menerima keadaan seperti ini pada usia empat tahun. Apabila bercerita fasal anak, saya memang sedih.
“Setiap kali kami berjumpa saya nampak dia begitu gembira dengan saya dan mahu saya balik rumah. Dia mahu mummy dan daddy dia.
“Disebabkan hal ini saya terpaksa tipu dia dan beritahu saya keluar rumah sebab urusan kerja. Dia menangis tak nak lepaskan saya sehingga tertidur. Itu yang membuatkan saya lebih kesal kerana terpaksa menipunya,” katanya.
Ditanya mengenai hak jagaan anak, Fattah memberitahu, sepenuhnya di bawah Fazura manakala dia mendapat hak lawatan dan bermalam mengikut perjanjian yang diputuskan bersama.
Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd. Amin, 33, melafazkan cerai talak satu terhadap Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 41, pada pukul 9.45 pagi di hadapan Hakim Syarie Abdul Malik Soleh.
Ia selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Fazura mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya, 4.
#Fattah Amin #Fazura #bercerai #nafkah #curang
;