'Jangan tunggu dah tak ada baru nak cari' - Yusof Haslam menangis rindukan Syamsul

Gempak
Oktober 30, 2023 12:24 MYT
Tiada perasaan marah, Yusof bagaimanapun memberi masa dan ruang untuk Syamsul (tengah) yang berkemungkinan ada terasa hati dengannya dan isteri, Datin Patimah. -Gempak
PENGARAH Yusof Haslam mendedahkan anak lelakinya iaitu pengarah Syamsul Yusof sudah lama tidak menghubungi dan bertemu dengannya.
Tiada perasaan marah, Yusof bagaimanapun memberi masa dan ruang untuk Syamsul yang berkemungkinan ada terasa hati dengannya dan isteri, Datin Patimah.
“Tak salah tahun lepas masa mak mentua saya sakit (berhubung). Ibu dia ada hubungi, masa itu saya ada berbual sekejap.
“Tapi sebelum itu, dah bertahun dia tak balik. Tak apa saya tak marah, tak anggap bukan-bukan. Sebagai anak, mungkin ada benda yang dia tak puas hati dengan ibunya atau dengan saya.
“Bagi saya, tak apalah kami bagi masa. Terserah kepada Syamsul untuk balik berjumpa dengan ibunya.
"Kalau dia tak nak balik pun, terserah. Tepuk dada tanya selera,” katanya.
Sentiasa mendoakan yang terbaik, Yusof turut berpesan kepada Syamsul agar cepat-cepat bertemu dengannya sebelum terlambat.
“Kami sudah nak menjangkau 70 tahun pada tahun depan. Ramai rakan seperjuangan saya sudah pergi.
"Kepada anak saya, jangan tunggu sampai bapa kau sudah tak ada baru nak cari.
“Jangan anggap apa yang ibu bapa luah itu sebagai untuk merendahkan kamu. Kami sentiasa mendoakan yang terbaik.
“Papa rasa jiwa kamu akan lagi tenang apabila kamu berbaik dengan ibu terutamanya serta keluarga.
"Wang bukan segala-segalanya. Dalam solat kami sentiasa doakan yang terbaik,” ujarnya.
Dalam pada itu, Yusof gagal menahan air mata dan mengakui sudah penat dengan kontroversi keluarganya yang masih belum menemui jalan pendamaian.
“Kami sedih..(menangis). Of course kami sayang dengan anak. Saya sudah letih dengan semua ini. Jiwa saya dengan Datin Patimah sudah tenang.
“Kami sudah terima semua ini dengan apa yang berlaku. Saya doakan agar filem-filem Syamsul mendapat sambutan yang baik.
"Papa tetap akan menyokong kamu,” katanya lagi. -Gempak
#Syamsul Yusof #Yusof Haslam #Datin Patimah #kontroversi keluarga
;