"Jangan terlalu berkira" - Demi Mona Lisa, Nazim Othman tempah 40 sut
Gempak
Mac 8, 2018 19:03 MYT
Mac 8, 2018 19:03 MYT
PELAKON Nazim Othman mengakui tidak kisah mengeluarkan modal puluhan ribu ringgit membeli 40 pasang sut semata-mata untuk drama terbarunya, Mona Lisa.
Kata Nazim, tindakannya itu merupakan antara komitmen dan usaha yang dilakukan untuk menzahirkan watak Johan dalam drama tersebut.
“Saya seorang yang sangat pentingkan imej yang bersesuaian dengan karakter dan drama ini pula memerlukan saya sentiasa memakai sut.
“Sebelum ini saya sudah memiliki lebih 20 pasang sut namun saya rasakan itu tidak cukup.
"Jadi saya sanggup terbang ke Vietnam untuk menempah 11 pasang sut tambahan di sana.
“Itu antara inisiatif dan komitmen yang saya lakukan untuk memenuhi tuntutan watak Johan.
“Kata orang, apabila bercakap mengenai karakter dan lakonan perkara itu bukan sekadar melibatkan pakaian dan imej semata-mata.
“Sebaliknya, itu merupakan sebahagian daripada perkara-perkara yang membantu kita untuk membawakan watak dengan baik,” katanya.
Nazim ditemui ketika sidang media drama Mona Lisa bertempat Hotel Pullman Putrajaya Lakeside, Putrajaya pada Rabu.
Dalam pada itu, Nazim atau nama sebenarnya Nushrul Alif Othman berkata dia tidak terlalu berharap pada penajaan.
“Bukan sombong cuma saya lebih selesa untuk membeli baju sendiri. Bukan apa, kadang kala apabila berlakon, baju yang diberikan tidak kena dengan bentuk tubuh dan juga saiz saya.
“Ada juga yang tidak bersesuaian dengan karakter, jadi saya pilih untuk keluarkan duit sendiri.
“Bukan hanya sekadar sut, pakaian kasual pun saya beli juga. Tak perlu nak bandingkan, setiap orang ada acara tersendiri.
“Ini cara saya, jangan terlalu berkira dengan karier. Lagipun apa yang saya laburkan ini untuk diri sendiri dan pakaian itu nanti saya akan simpan juga. Jadi tak mengapa,” jelasnya.
Selain Nazim, pelakon lain yang turut membintangi Mona Lisa adalah Zara Zya, Hafreez Adam dan Mona Allen.
Drama adaptasi Korea daripada naskah “The Women’s Room’ itu bakal bersiaran sebanyak 80 episod bermula 20 Mac ini.
Drama arahan Shahrul Ezad Mohameddin itu akan ditayangkan setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang menerusi slot Tiara di saluran Astro Prima (105) dan Maya HD (135).
Foto: Instagram @nazimothman
Teks oleh: Mya Amri
#Astro
#draa
#imej
#Instagram
#kedekut
#Korea
#Mona Lisa
#Nazim Othman
#pakaian
#pelakon
#sut
#Vietnam