"Jangan salahkan saya, tugas promosi drama tak ada dalam kontrak" - Aqasha
Gempak
Disember 6, 2017 12:27 MYT
Disember 6, 2017 12:27 MYT
BINTANG Gegar Vaganza 4 (GV4) yang juga teraju utama drama bersiri Misi Laksa dan Laksam, Aqasha menyifatkan tindakannya tidak mempromosikan drama tidak patut dijadikan isu besar.
Bagi Aqasha, drama lakonannya bersama Rita Rudaini itu merupakan siaran ulangan dan dia pernah mempromosikan produk sama sebelum ini ketika disiarkan di sebuah platform digital pada awal tahun ini.
"Saya pernah mempromosikan drama ini pada awal tahun ketika ia disiarkan di sebuah platform digital dan sekarang apabila ia ditayangkan di televisyen, sudah bukan tanggungjawab saya lagi.
"Memang benar Misi Laksa dan Laksam adalah projek yang melibatkan saya sebagai pelakon dan saya pasti menghebahkannya kepada peminat.
"Tidak adil untuk menyalahkan saya semata-mata kerana tugas untuk mempromosikan drama di media sosial tidak pernah dinyatakan dalam kontrak lakonan," jelas Aqasha.
Terdahulu, penerbit drama, Fadzil Teh memuat naik status di Facebooknya menyatakan rasa kecewa terhadap sikap pelakon drama itu yang tidak membantu mempromosikan drama di laman sosial.
Malah, Fadzil memberitahu dia enggan lagi bekerjasama dengan pelakon itu yang disifatkan hanya mahukan bayaran yang mahal namun tidak mahu menyokong produk lakonan sendiri.
Fadzil bagaimanapun tidak menyatakan secara tepat pelakon yang dimaksudkan sementelah tindakan Aqasha memuat naik status balas di Facebook seolah-olah menjawab isu yang dibangkitkan Fadzil.
"Bukan produser je boleh ada kontrak. Pelakon pun bole buat. Kau bayar aku lambat sehari, aku charge 5 peratus interest.
"Baru dia tahu menggelupur nak cepat. Time offer, call macam esok kiamat. Time bayar, dia yang kiamat," tulis Aqasha.
Teks oleh: Amri Hassan