Jangan pertikai penerima Dana Kandungan Digital Muzik - Azmeer

Hasimi Muhamad
Disember 25, 2020 15:50 MYT
Azmeer berkata, ketika ini beliau menjalin kerjasama dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk menghasilkan 100 Pilihan Lagu-Lagu Melayu Terbaik Dalam 100 Tahun, dari era 1900 sehingga 2000 - Gambar Facebook
KUALA LUMPUR: Mana-mana pihak dinasihatkan agar tidak mempertikaikan pemilihan penerima Dana Kandungan Digital (DKD) Muzik membabitkan 48 individu dan syarikat dalam usaha untuk merancakkan pembangunan industri muzik negara.
Komposer terkenal, Mohd Azhar Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai Azmeer berpandangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menerusi ahli panel yang bertauliah mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam membuat penilaian dan kriteria penerima yang layak.
Justeru, beliau menambah, penilaian secara menyeluruh pastinya telah dibuat termasuk mengambil kira manfaat yang akan dihasilkan oleh para penerima kepada industri muzik tanah air.
"Jadi, panel-panel yang dipanggil itu saya rasa bukan orang biasa. Mereka tahu tentang aspek dari segi seni, akademik dan ekonomi.
"Dari situ mereka mungkin menganalisis dan membahagikan (dana). Seperti kami (penerima) juga, saya tak rasa semua dapat apa yang diminta, mungkin dalam 30 peratus sahaja (daripada dana yang dimohon)," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, pencipta dan penulis lirik lagu Purnama Merindu itu berkata, para penerima dana tersebut mempunyai tanggungjawab besar untuk menghasilkan projek-projek yang telah dicadangkan kepada kementerian.
Katanya, pihak kementerian sentiasa memantau perkembangan, selain para penerima perlu menyediakan laporan berhubung projek masing-masing.
Sementara itu, ditanya mengenai keunikan idea beliau sehingga berjaya terpilih sebagai penerima DKD, Azmeer berkata, ketika ini beliau menjalin kerjasama dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk menghasilkan 100 Pilihan Lagu-Lagu Melayu Terbaik Dalam 100 tahun, dari era 1900 sehingga 2000.
Jelas beliau yang juga Felo UUM dan pelajar tahun akhir Ijazah Doktor Falsafah (PhD), projek tersebut akan menghimpun lagu-lagu malar segar sepanjang era tersebut, selain menceritakan kisah sejarah di sebalik penghasilan karya-karya berkenaan.
Ia kemudian akan dirakam semula tanpa menghilangkan nilai-nilai estetika lagu itu, katanya.
"Ia sebuah buku dan lagu... Ia juga boleh dijual di luar negara dan Asia Tenggara kerana dihasilkan dalam bentuk dwi bahasa iaitu bahasa Inggeris dan Malaysia.
"Jadi, mungkin mereka (kementerian) melihat dari sudut memartabatkan lagu-lagu Melayu yang lama dan dibaharukan (semula), tetapi tidak menghilang nilai estetika lagu tersebut.
"Misalnya, Julie Remie (Jerat Percintaan); atau lagu Jamal Abdillah (Kekasih Awal dan Akhir), kita minta Misha Omar atau Kaka Azraff nyanyikan lagu itu.
"Jadi, ada elemen kejutan dan orang teringin untuk mendengar lagu-lagu itu dan pada masa yang sama dapat mengetahui sejarah, dan bukan hanya mendengar lagu-lagu hit pilihan kami. Itu motif kami, yang saya rasa pihak KKMM berminat dengan projek ini," ujar beliau lagi.
Menerusi pemberian dana tersebut, Azmeer berkata sebanyak 25 hingga 30 lagi dijangka dapat dibuku dan dirakam semula.
BACA: 48 individu, syarikat terima Dana Kandungan Digital Muzik
Terdahulu, sejumlah 48 individu dan syarikat menerima DKD Muzik yang julung kali diwujudkan berjumlah RM5.54 juta, bagi 54 projek industri muzik.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata, 54 projek berkenaan dipilih berdasarkan demo dan kertas cadangan yang dihantar serta latar belakang penerima dengan 25 projek dipilih di bawah Dana Mikro, Dana Pemasaran (lapan) dan Dana Ekosistem (21).
Selain Azmeer, turut menerima dana tersebut adalah penyanyi Dayang Nurfaizah, kumpulan Estranged dan kumpulan nasyid Inteam.
#Saifuddin Abdullah #azmeer #Dana Kandungan Digital #industri muzik #Lagu malar segar #Kementerian Komunikasi dan Multimedia #Purnama Merindu #Dayang Nurfaizah
;