"Jangan melampaulah!" - Teruk dikecam netizen, ini reaksi Fizo Omar
Gempak
Julai 22, 2019 09:40 MYT
Julai 22, 2019 09:40 MYT
PELAKON Fizo Omar tidak berniat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap segelintir netizen yang cuba menyebar perkara tidak tepat tentang kes perceraiannya dengan Mawar Karim.
Namun, Fizo tidak teragak-agak untuk bertindak seandainya ada dalam kalangan netizen yang keterlaluan hingga mengaibkan pihaknya dan keluarganya.
"Saya tidak akan mengambil tindakan undang-undang pun, itu hak netizen untuk bercakap.
"Tetapi kalau ada yang terlampau sampai mengaibkan dan memberikan kesan tidak baik, saya akan mengambil tindakan sewajarnya.
"Saya tak mahu hubungan saya dan bekas isteri menjadi keruh memandangkan kami sudah bersepakat untuk berbaik-baik demi Maryam," katanya kepada Gempak.
Tambah Fizo lagi, dia juga enggan mengambil pusing buah mulut netizen hingga impaknya terhadap mereka sekeluarga menjadi lebih keruh.
"Saya tak mahu disebabkan kata-kata netizen baik saya dan bekas isteri bergaduh.
"Jadi, semua pihak haruslah berfikiran waras dan membuat keputusan dengan bijak," kata Fizo.
Fizo ditemui di kediamannya di Bangi, Selangor baru-baru ini sempena kejutan khas buat ibunya Hasnah Jidin ketika sambutan hari jadi Fizo sendiri yang ke-34.
Pasangan Fizo dan Mawar bercerai talak satu pada 10 Julai lalu selepas enam tahun berkahwin.
Selepas berita perceraian itu tersebar, ada segelintir pihak yang membuat andaian bahawa ibu Fizo menjadi punca keretakan rumah tangga mereka.
Bagaimanapun, ibunya tampil membuat penafian berhubung perkara terbabit.
Hasil perkongsian hidup Fizo dan Mawar, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Wan Maryam yang kini berusia dua tahun.