Jangan ingat punggung kamu macam Kim Kardashian - Budayawan
Astro Awani
November 19, 2014 12:06 MYT
November 19, 2014 12:06 MYT
Remaja wanita di negara ini dinasihat tidak meniru gaya gambar aksi separa lucah bintang realiti TV popular, Kim Kardashian dalam sebuah majalah antarabangsa baru-baru.
Budayawan, Profesor Dr Siti Zainon Ismail bagaimanapun berkata, remaja negara ini juga tidak boleh dipersalahkan seratus peratus seandainya ada kecenderungan untuk meniru aksi Kardashian dan dipapar di laman media sosial seperti Facebook.
Ujarnya, sikap remaja itu sendiri mempunyai sikap suka meniru dan seandainya berlaku, ia disifatkan sudah direstui pengguna media sosial secara amnya.
"Cuma saya hendak tanya, cantik sangatkah punggung itu jika hendak ditayang kepada semua orang?
"Saya tidak salahkan budak-budak ini (remaja). Mereka ikut saja apa yang dilihat di media sosial dan media perdana yang mempertontonkan kisah asal artis barat berkenaan.
"Tetapi tidak payahlah hendak ditiru, kita kena jaga budaya ketimuran, kita budak terlalu sosial seperti negara mereka (barat)," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Siti Zainon mengulas aksi Kardashian yang mempamerkan susuk tubuhnya dalam keadaan separa lucah dalam halaman sebuah majalah antarabangsa.
Aksi separa lucah Kardashian di sebuah majalah antarabangsa yang dibimbangi ditiru remaja negara ini di beberapa laman media sosial. -Gambar papermag.com
Selain itu, aksi Kardashian itu turut menjadi viral dengan 'hashtag' #kardashian selain ada juga yang menjadikannya 'parodi' di laman Twitter.
Aksi itu turut mendapat pelbagai pandangan di laman sosial selain blog dan diskusi di forum internet.
Kardashian sebelum ini mencuri perhatian umum dengan aplikasi permainan videonya yang berjaya mengutip sejumlah USD43 juta hanya dalam tempoh tiga bulan sejak dilancarkan pada Jun.
Tambahnya, selain aksi Kardashian, beberapa tarian yang mempunyai kecenderungan kepada gaya hidup barat dan tidak menerapkan nilai-nilai ketimuran turut dilihat semakin berkembang dan terdedah untuk dicontohi remaja negara ini.
"Ia jadi ikutan remaja, ia sebenarnya dipromosi secara percuma oleh media tempatan juga.
"Apakah kita sudah tidak mempunyai tarian tradisional untuk dipromosi? Tarian yang bukan asalnya daripada negara kita juga yang direstui semua dan diberi liputan meluas," jelasnya.