Jangan banding nyanyian saya dengan Suffian - Zamani
Madiha Abdullah
November 19, 2018 16:49 MYT
November 19, 2018 16:49 MYT
Pemenang tempat ketiga Gegar Vaganza (GV) musim kelima, Zamani, meminta peminat agar tidak membandingkan persembahan nyanyian lagu Di Matamu dengan nyanyian penyanyi asal, Suffian Suhaimi.
Kata Zamani, muzik merupakan sesuatu yang subjektif dan penilaiannya terpulang kepada individu yang mendengar.
"Setiap penyanyi ada cara berbeza dalam menyanyi. Suffian sebagai penyanyi asal, ada pemahaman tersendiri terhadap lagu itu.
"Saya menyanyikan dengan cara saya. Kalau peminat suka, saya bersyukur. Tetapi itu tidak bermakna nyanyian Suffian tidak bagus," kata Zamani.
Persembahan Zamani menerusi lagu itu di minggu separuh akhir, menerima pujian ramai, malah ada yang menyifatkan ia lebih baik daripada penyanyi asal.
Mengenai perancangannya selepas GV, kata Zamani, dia mahu menggunakan wang yang dimenangi untuk tujuan perubatan.
"Yang ada dalam fikiran sekarang ialah nak berubat untuk sakit tulang belakang saya. Lain-lain akan difikirkan nanti. Insya Allah, ada buah tangan untuk peminat nanti," ujarnya.
Zamani yang menyampaikan lagu Lagu Jiwa Lagu Cinta dan Bunga, membawa pulang RM30,000 dan trofi.