Janet Jackson ucap takziah atas pemergian Pengiran Muda Abdul Azim
Afiq Ariffin
Oktober 25, 2020 15:49 MYT
Oktober 25, 2020 15:49 MYT
PEMERGIAN anakanda Sultan Brunei, Pengiran Muda Abdul Azim Sultan Hassanal Bolkiah pada Sabtu mengundang kesedihan dalam kalangan beberapa rakan karibnya.
Antaranya, penyanyi terkenal antarabangsa, Janet Jackson yang mengucapkan ucapan takziah atas pemergian sahabat baiknya itu.
Perkara itu diucapkan Janet menerusi perkongsian di Instagram Story miliknya pada Ahad.
“Azim, saya sayang awak dan Insyallah tiada lagi kesengsaraan. Dengan nama yang Maha Esa, semoga kamu dilindungi. Amin,” ujar adik Michael Jackson itu.
Berita duka berkenaan diumumkan pihak Istana Brunei yang memaklumkan putera berusia 38 tahun itu meninggal dunia jam 10.08 pagi Sabtu.
Menerusi laporan Radio Televisyen Brunei (RTB), putera itu dimakamkan di Kubah Makam Diraja selepas Asar.
Susulan itu, pemerintah Brunei memerintahkan rakyatnya supaya mengibarkan bendera separuh tiang dan berkabung selama tujuh hari bermula Sabtu.
Pengiran Muda Abdul Azim dilahirkan di Bandar Seri Begawan pada 29 Julai 1982 dan mendapat pendidikan di Sekolah Antarabangsa Brunei, Raffles Institution dan Universiti Oxford Brookes, United Kingdom.
Baginda juga pernah mengikuti latihan ketenteraan selama sembilan bulan di Royal Military Academy Sandhurst, London.
Pengiran Muda Abdul Azim dikenali sebagai seorang yang sangat prihatin terhadap isu kemanusiaan selain terkenal dalam kalangan para selebriti di Hollywood.
#Janet Jackson
#Pengiran Muda Abdul Azim
#Sultan Hassanal Bolkiah
#Sultan Brunei
#Instagram
#Hollywood
#London
#United Kingdom
#Brunei
#meninggal dunia
#sekolah
#pendidikan
#military