Jamie Foxx masih menerima rawatan di hospital
Astro Awani
April 18, 2023 10:20 MYT
April 18, 2023 10:20 MYT
PELAKON terkenal Hollywood Jamie Foxx masih menerima rawatan hampir seminggu selepas dimasukkan ke hospital akibat "komplikasi kesihatan", kata sumber artis berkenaan kepada portal berita antarabangsa CNN pada Isnin.
Anak pelakon itu, Corinne Foxx memuat naik hantaran di akaun Instagram miliknya Selasa lepas, bapanya mengalami insiden berkaitan kesihatan.
Namun dia tidak mendedahkan butiran terperinci mengenai perkara tersebut cuma bapanya itu "dijaga dengan baik dan dalam proses pemulihan".
CNN turut melaporkan pada Jumaat, Foxx dimasukkan ke hospital dan sedang menjalani beberapa ujian kesihatan.
Foxx dilaporkan berada di Atlanta bagi menjalani sesi penggambaran filem 'Back in Action' bersama Cameron Diaz.
Sumber memberitahu CNN, insiden kesihatan itu tidak berlaku di set penggambaran dan Foxx tidak dibawa dengan ambulans ke hospital.
Penggambaran filem berkenaan masih diteruskan dan dijangka akan tamat minggu ini.