James Bond: Tiada versi kulit hitam, wanita mungkin - Idris Elba

Agensi
Januari 23, 2018 07:28 MYT
Bagi Idris Elba, lebih elok kalau watak perisik British itu diberikan kepada wanita. - REUTERS/Fail
BERIKAN apa juga watak kepadanya, Idris Elba jarang menghampakan. Namun pelakon bertubuh tegap ini menolak untuk menjadi pengganti Daniel Craig sebagai ejen 007, James Bond.
Bagaimanapun Elba ada cadangan lain. Apa kata kalau dibuat Bond versi wanita pula?
"Adakah anda berminat untuk melihat watak Bond bukan lelaki? Mungkin wanita berkulit hitam atau putih.
"Ramai yang mahu menyaksikan sesuatu yang lain. Apa salahnya?" cadang Elba.
Mengenai tawaran sebagai Bond, Elba ada sebab mengapa dia menolaknya.
"Kita sekadar mahu lelaki kulit hitam untuk jadi James Bond, berbanding mahu Idris Elba sebagai James Bond," katanya.
Sementara itu pihak penerbit menolak idea untuk menukar watak Bond kepada wanita, sebaliknya berminat untuk memberi watak perisik British itu kepada Harry Styles.
Mereka dilaporkan kagum dengan lakonan bekas anggota One Direction itu dalam filem pertamanya Dunkirk arahan Christopher Nolan.
Bagi Lee Smith, penyunting filem Spectre, pelakon berusia 23 tahun itu layak untuk dipertimbangkan jika mereka mahukan versi Bond yang lebih muda.
Selain Styles, beberapa lagi pelakon yang dikaitkan untuk mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan Craig termasuk James Norton, Tom Hardy dan Tom Hiddleston.
#007 #Christopher Nolan #Dunkirk #Harry Styles #idris elba #james bond #One Direction
;