Jamali Shadat - Pelawak malar segar
Bernama
Mac 27, 2015 15:47 MYT
Mac 27, 2015 15:47 MYT
Keletah 'Atan', budak lelaki yang sering membuli datuknya, masih mencuit hati penonton walaupun selepas lebih 44 tahun pelawak terkenal Datuk Jamali Shadat menggayakan serta melontarkan suara kanak-kanak itu.
Nyata, usia emasnya tidak menghalang Jamali untuk terus melakonkan aksi 'Atan' yang sinonim di dalam dirinya malah jenakanya amat dinantikan oleh peminatnya.
Ini terserlah ketika beliau menjayakan program 'Sebutir Bintang di Taman Seni' di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) baru-baru ini bersama-sama rakan karibnya Hamid Gurkha (watak datuk) anjuran Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) dengan kerjasama Bernama Lifestyle & Youth.
Aksi 'Atan' yang bagaikan 'budak baik' tetapi membuli datuknya mengundang tawa penonton malah sikap Atan yang 'bodoh-bodoh alang' tampak begitu jujur.
Sepanjang 44 tahun penglibatannya dalam komedi lawak, Jamali banyak membudayakan lawak keharmonian hubungan antara kaum malah menyatukan mereka dalam jenakanya.
Sungguhpuh sudah mencecah usia 73 tahun, beliau masih tampak segak walau dirinya kian dimamah usia malah mengakui tidak menghidap sebarang jenis penyakit seperti yang biasa dialami oleh insan seusianya.
Sebelum ini, penulis menziarahi Jamali di rumahnya di Kampung Datuk Razali, Pulau Indah, Klang bagi bertanya khabar di samping berkongsi cerita terbaru pelawak tersohor itu.
"Watak Atan memang dah jadi kebiasaan untuk dibawa bersama datuknya hingga saya dikenali oleh seluruh lapisan masyarakat," katanya yang juga sinonim dengan karektor 'Atuk'.
Jelasnya, mesejnya ialah perpaduan dan setiap isu semasa yang berlaku disekelilingnya akan menjadi bahan ceritanya namun disampaikan dalam gaya, intonasi suara dan mimik muka yang melucukan.
"Misalnya suatu ketika dahulu (sekitar tahun 1980 an),Malaysia pernah dilanda banjir besar, saya akan menyatukan kaum Melayu, Cina dan India melalui tragedi itu dengan berlawak," katanya.
Jamali menjelaskan, kebolehannya mengajuk pelbagai bahasa diperolehi setelah beliau banyak bercampur dengan pelbagai kaum sejak dari zaman kanak-kanaknya.
"Saya boleh ajuk bahasa India kerana pernah bekerja di estet suatu ketika dahulu, bahasa Cina kerana pernah bekerja dengan majikan Cina di sebuah kedai runcit.
"Saya boleh bercakap Jawa sebab saya memang orang Jawa, ayah dan datuk saya memang keturunan Jawa," katanya.
Mengulas mengenai kehidupan kini, Jamali menyatakan banyak menghabiskan masa dengan aktiviti di kampungnya dan memenuhi undangan berlawak sekiranya ada.