Jamal bakal bawa fenomena 'Zack' dalam konsert Februari depan

Bernama
November 2, 2024 11:10 MYT
Jamal berkata panggilan 'Zack' masih melekat pada dirinya hingga sekarang, terutama ketika membuat persembahan. - Foto fail/Gempak
KUALA LUMPUR: Impak watak Zack yang dilakonkan oleh Datuk Jamal Abdillah dalam filem Azura meninggalkan kesan yang cukup mendalam bukan sahaja kepada penyanyi bersuara emas itu, tetapi juga peminatnya yang hingga kini masih menyebut kisah cinta Zack dan Azura, lakonan seniwati Fauziah Ahmad Daud.
Filem arahan Deddy M. Borhan itu mencipta fenomena industri perfileman negara era 1980-an, dan bagi mengubat kerinduan peminat, Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Mohd Ali, akan mengembalikan memori romantis Zack dan Azura menerusi Konsert Dato Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan mencari Azura, pada 15 Feb depan.
Mengakui konsert anjuran Live Injection dan NJ Resources itu satu cabaran kepadanya yang kini berusia 65 tahun, Raja Pop ini bagaimanapun yakin dengan sokongan peminat, beliau dapat memberikan yang terbaik menerusi 16 lagu yang bakal didendangkan.
"Ketika zaman Zack dan Azura, saya baru berusia 23 tahun, dan sekarang sudah 65 tahun. Nak kembalikan zaman itu mencabar juga, tapi insya-Allah saya akan ikut tema itu dan peminat juga disarankan berpakaian era 1980-an kerana itulah tema pakaian yang ditetapkan.
"Saya bersyukur kerana masih diberi ruang untuk mengadakan konsert. Saya perlu menyediakan lagu-lagu yang disukai ramai agar peminat berpuas hati dan mampu menjadi kenangan sehingga akhir hayat mereka," katanya dalam sidang media konsert berkenaan, baru-baru ini.
Mengimbau kembali fenomena filem tersebut, Jamal berkata berkata panggilan 'Zack' masih melekat pada dirinya hingga sekarang, terutama ketika membuat persembahan, membuktikan keistimewaan watak itu dalam kalangan peminat.
Berkongsi memori, beliau berkata paling tidak dapat dilupakan ialah apabila menerima berguni-guni surat daripada peminat dan satu daripada warkah yang meninggalkan kesan mendalam padanya ialah kiriman seorang penghidap leukemia.
"Dalam surat itu, dia ingin berjumpa dan kebetulan dia (peminat) tinggal di Ipoh dan saya pun mengajak arwah ayah menemani saya ke rumahnya.
"Dia seorang peminat wanita dan memang sakit pun. Saya gembira dapat menunaikan hasratnya untuk berjumpa, ambil gambar dan menandatangani autograf. Selepas itu saya tak tahu keadaannya lagi," katanya.
Sementara itu, Edy J daripada Live Injection, menjanjikan konsert berkenaan akan menjadi sebuah pertemuan penuh nostalgia buat peminat, dan Jamal akan berduet dengan Wany Hasrita menyanyikan lagu Sandarkan Pada Kenangan yang didendangkan oleh beliau dengan Fauziah dalam filem tersebut.
"Kami percaya dengan semua pengalaman, pesona dan untaian lagu hit yang telah dirakamkan Jamal sejak awal pembabitan hingga kini, dan konsert ini akan bersifat lebih intim bagi mencipta momen tersendiri buat peminatnya," katanya.
Tiket konsert yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur itu kini dijual menerusi www.ticket2u.com pada harga RM340, RM360, RM380, RM395, dan RM7,500 (VIP BOX- 8 orang).
-- BERNAMA
#jamal abdillah #Azura #Zack #kisah cinta
;