Jamal Abdillah timang anak kelima pada usia 63 tahun
Astro Awani
Februari 22, 2022 16:04 MYT
Februari 22, 2022 16:04 MYT
KUALA LUMPUR: Ketika sebilangan rakan sebaya sedang leka bermain dengan cucu, penghibur terkenal, Datuk Jamal Abdillah pula terus dimurahkan rezeki cahaya mata.
Pada tarikh istimewa 22.02.2022 ini, penyanyi berusia 63 tahun itu, meraikan kehadiran cahaya mata kelima, Iskandar Rayyan Yamani dengan berat 2.84 kilogram.
Iskandar dilahirkan oleh isteri Jamal, Datin Zai Izzati Khiruddin, 27, secara pembedahan di sebuah hospital swasta di Shah Alam pada pukul 2.27 petang Selasa.
Berkongsi kegembiraan itu, penyanyi yang masyhur dengan lagu Kekasih Awal dan Akhir itu berkata, menimang bayi pada usia 63 tahun tidak pernah memberi sebarang masalah buatnya.
Bahkan, untuk berjaga di tengah malam menyiapkan susu atau menyalin lampin tidak pernah dianggap sebagai bebanan kata, Jamal atau nama sebenarnya, Jamal Ubaidullah Mohd Ali.
“Saya sudah sedia untuk mengulang rutin bantu isteri jaga anak kecil pada tengah malam. Barangkali, sudah biasa kerana sejak tiga tahun dahulu saya sudah mula menimang anak kecil iaitu pada 2019 dan 2020.
“Tahun ini, Allah hadirkan seorang lagi cahaya mata , jadi semuanya jadi biasa buat saya,” ujar Jamal kepada Astro AWANI ketika dihubungi.
Kata Jamal juga, dalam keadaan sekarang, beliau memiliki sepenuhnya masa untuk dikongsi dengan keluarga.
“Tumpuan dan keselesaan masa saya kini lebih banyak tertumpu pada keluarga. Saya gembira dan sangat bersyukur dengan rezeki yang Allah hadirkan pada saya dan isteri,” ujar Jamal lagi.
Ditanya mengenai tarikh kelahiran ahli keluarga baharunya itui, Jamal mengakui, beliau dan isteri sengaja memilih untuk menyambut kehadiran Iskandar hari ini.
Kata Jamal, ia sebagai meneruskan tradisi anak ketiga dan keempatnya sebelum ini iaitu Nur Azura Yamani yang lahir pada 10.10.2019 sementara El Isaac Yamani pula pada 11.11.2020.
Jamal juga secara peribadi berkata, beliau sememangnya mahu memiliki anak yang ramai dan hasrat itu sudah
disuarakan pada isterinya.
“Isteri saya beri ‘lampu hijau’ untuk tambah anak, tapi dengan syarat biarlah berjarak, jangan rapat sangat,” kata Jamal lagi.