Jamal Abdillah berhasrat bukukan kisah hidupnya
Irwan Muhammad Zain
September 18, 2019 19:38 MYT
September 18, 2019 19:38 MYT
Selepas empat dekad dalam gelanggang muzik tanah air bermula dengan Bintang RTM pada 1979, Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah berhasrat membukukan kisah hidupnya.
Menurut bintang legenda ini, hasrat untuk menghasilkan biografi sudah lama dipendamnya.
“Selama 40 tahun dalam bidang seni, saya memang berhasrat untuk menerbitkan biografi tentang diri saya.
“Cuma bila biografi, tentu ada kisah yang positif dan yang negatif, kisah yang negatif tu saya tak mahu diungkitkan lagi.
“Kalau ada mana-mana penulis yang sudi menulis kisah hidup saya boleh hubungi saya untuk kita berbincang,” katanya kepada Astro AWANI selepas sidang media Malam Amal Pengasih @cintamanis.
Pelantun lagu ‘Kekasih Awal dan Akhir’, ‘Penghujung Rindu’ dan banyak lagi, harapannya penerbitan biografi itu kelak peminatnya akan memberi sokongan.
Mengulas mengenai Malam Amal Pengasih yang bertujuan mengutip dana bagi lokasi baru Pengasih di Bentong itu, Jamal menjelaskan, persetujuannya untuk muncul di majlis makan malam Pengasih itu sebagai membalas jasa pusat pemulihan itu padanya.
“Tempat ini banyak berjasa kepada saya selama ini. Lima tahun saya duduk sini, tak buat apa pun, jadi penglibatan saya dalam Malam Amal Pengasih ini kerana membalas jasa mereka,” katanya.
Malam Amal Pengasih @cintamanis akan diadakan pada 17 November nanti di Hotel Istana.
Pada majlis itu nanti, Jamal dan artis terkenal, Man Bai akan mengadakan persembahan yang bertujuan mengutip dana untuk membiayai pembinaan pusat pemulihan Pengasih yang akan berpindah ke Bentong.