Jalin kerjasama dengan Celcom Axiata, OlaBola The Musical janji persembahan luar biasa

Madiha Abdullah
Februari 1, 2018 20:20 MYT
Tiara Jacquelina dan barisan pelakon utama OlaBola The Musical bersama Ketua Pegawai Korporat Celcom Axiata, Zuraida Jamaluddin, pada sesi pratonton khas, pada Selasa.
Celcom Axiata pada Selasa telah diumumkan sebagai rakan digital untuk OlaBola The Musical yang bakal dipentaskan di Istana Budaya, 8 Februari ini.
Kerjasama itu akan menyaksikan pementasan teater terbesar tahun ini akan dipersembahkan dengan teknologi tercanggih yang pernah disaksikan penonton di Malaysia.
Dalam satu pratonton khas, media dan tetamu jemputan telah dipertontonkan dengan demonstrasi mengagumkan teknologi yang digunakan dalam OlaBola The Musical, seperti paparan pemetaan #D, bunyi sekeliling 360 darjah, visual animasi dan teknologi pencahayaan paling terkini.
"Kami berbangga menjadi rakan digital rasmi untuk pementasan OlaBola The Musical yang dinanti-nantikan ini. Kisah dalam pementasan ini menggambarkan negara kita dan secara tepat menampilkan kesungguhan, keazaman dan kepelbagaian kita dalam usaha mencapai matlamat bersama.
"Ia adalah sesuatu yang luar biasa bagi syarikat hiburan terkemuka seperti Enfiniti yang tahu mengenai manfaat menggunakan teknologi canggih untuk memberikan pengalaman lebih emersif bagi audiens teater," kata Azwan Khan Osman Khan, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Operasi Perniagaan Celcom Axiata Berhad.
Bagi Presiden Kumpulan Enfiniti yang juga pengarah dan penerbit OlaBola The Musical, Datin Seri Tiara Jacquelina, penyertaan Celcom Axiata dalam pementasan OlaBola The Musical merupakan satu perkara positif ke arah perkembangan landskap industri seni kreatif.
"Ini akan membawa teater ke tahap baru, bukan sahaja di Malaysia atau Asia Tenggara, tetapi ia berkemungkinan pertama kali dalam dunia untuk teater melalui pengalaman seumpamanya," kata Tiara.
OlaBola The Musical diadaptasi dari filem pecah panggung 2016, akan menjadi acara pembuka tirai Istana Budaya selepas menjalani proses renovasi, dan akan dipentaskan selama 32 hari, dari 8 Februari hingga 11 Mac ini.
Tiket-tiket bagi OlaBola The Musical ditawarkan pada harga dari RM50 – RM350 dan boleh dibeli di laman web www.olabolamusical.com.
Pelanggan Celcom layak membeli semua kategori tiket pada harga diskaun 20 peratus untuk 500 pembeli tiket pertama.
#Celcom Axiata #Enfiniti #Istana Budaya #olabola the musical #teater #Tiara Jacquelina
;