Jaga status sebagai suami, Izzue Islam elak bersentuhan dengan pelakon wanita
Gempak
Disember 19, 2014 09:57 MYT
Disember 19, 2014 09:57 MYT
Pelakon kacak Izzue Islam bertegas dengan prinsip lakonannya yang meletakkan syarat untuk tidak bersentuhan dengan pelakon wanita demi menjaga statusnya sebagai suami.
Menurut Izzue,keputusan tersebut dibuat sendiri olehnya dan tiada kaitan dengan mana-mana pihak.
“Saya mahu menghadkan bersentuhan dengan pelakon wanita lagipun saya sudah berkahwin dan berstatus suami orang.
“Keputusan ini dibuat oleh saya sendiri dan sebelum berlakon saya juga ada beritahu pihak produksi mengenai perkara ini dan mereka juga tiada masalah,” katanya ketika ditemui pada majlis pra-tonton telefilem ‘Oh My English Villa Isabellaaa!’ bertempat di GSC Signature,The Garden pada petang Rabu.
Selain itu, Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan juga memberitahu untuk melakonkan adengan romantik tidak semestinya perlu bersentuhan.
“Saya rasa banyak lagi cara untuk menunjukkan babak-babak romantik dan tidak semestinya perlu bersentuhan.
“Saya pun nak jaga status saya sebagai suami dan dalam masa yang sama saya juga menghormati dan menjaga maruah pelakon wanita.
“Jadi saya rasa isu ini tidak perlulah diperbesarkan lagi,” ujarnya.
Di samping itu Izzue juga diminta mengulas mengenai spekulasi yang mengatakan prinsip tersebut mempunyai kaitan dengan isteri yang juga merupakan pengurusnya iaitu Awin.
“Orang boleh berkata macam-macam tetapi sebenarnya keputusan ini datangnya dari saya sendiri.
"Sudah-sudahlah kaitkan perkara ini dengan isteri saya, seperti yang saya cakap tadi tidak ada sesiapa pun yang mempengaruhi keputusan yang saya buat." ulasnya pendek.
Dalam perkembangan lain, Izzue akan tampil dengan telefilem terbaru berjudul 'Oh My English; Villa Isabellaaa!' yang akan bersiaran pada 27 Disember 2014, 9.00 malam secara eksklusif di Astro TVIQ (saluran 610) dan siaran serentak di Astro Maya HD (saluran 135). -- Astro Gempak