"Jaga anak-anak ye", pesan Saleem kepada isteri
Gempak
Oktober 15, 2018 05:42 MYT
Oktober 15, 2018 05:42 MYT
ISTERI kepada Allahyarham Saleem, Julia Bachok akui sebak dan tidak menyangka suaminya pergi meninggalkannya dengan masa yang agak cepat.
Namun, Julia reda dan berkata dia akan ingat pesanan akhir Saleem atau nama sebenarnya, Abdul Saleem Abdul Majeed kepadanya.
"Sebelum ini di hospital dia sentiasa senyum, malah, menunjukkan isyarat bagus seolah-olah mahu memberitahu kepada semua dirinya dalam keadaan baik.
"Masa dibenarkan pulang, dia beritahu teringin sangat nak jejak rumahnya.
"Namun sebelum keadaan kesihatannya bertambah teruk dan sukar untuk bercakap dia ada pesan kepada saya supaya menjaga anak-anak.
"Malah dia sempat memberitahu hajatnya untuk membuat konsert jelajah di Indonesia kerana ramai peminatnya di sana yang menantikannya.
"Tapi dia pergi terlalu awal, tidak sempat untuk semua itu," katanya kepada HLive!
Saleem menghembuskan nafas terakhirnya di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia ketika dalam keadaan koma pada pukul 6.15 pagi Ahad.
Sementara itu, anaknya yang juga bintang BigStage, Syafiq Farhain berkata kehilangan bapanya itu tiada ganti.
“Kehilangannya itu tiada ganti dan saya yakin, meskipun sudah tiada, karyanya akan terus hidup dan subur di hati ramai,” katanya.
BACA: 'Saleem tiada pengganti'
Allahyarham Saleem sebelum ini terlibat dalam satu kemalangan jalan raya pada 21 September lalu.
Kemalangan tersebut mengakibatkan tulang rusuknya patah serta beliau berada dalam keadaan koma.