Jadi duta periuk, Siti Nurhaliza enggan tipu peminat
Gempak
November 30, 2018 09:11 MYT
November 30, 2018 09:11 MYT
PENYANYI tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza kini bergelar duta produk periuk tahan lekat jenama Vantage.
Pernah menyandang tanggungjawab menjadi duta kepada pelbagai produk, ini merupakan penglibatan pertama Siti dengan produk kelengkapan dapur.
"Sejujurnya, saya teruja dengan kerjasama ini kerana sebagai seorang wanita, kelengkapan dapur memang dekat dengan hati kita.
"Rasa puas itu tak dapat digambarkan apabila proses memasak dipermudahkan dengan kelengkapan dapur yang menyenangkan kerja.
"Sudah semestinya saya akan memastikan dahulu produk yang saya wakili itu benar-benar berkesan.
"Saya mahu menjadi jurucakap kepada barangan yang benar-benar berkualiti kerana apa yang saya promosikan akan mempengaruhi peminat. Saya tak mahu tipu peminat," katanya.
Siti ditemui di majlis menandatangani kontrak sebagai duta jenama tersebut di Petaling Jaya, baru-baru ini.
Bermula Januari depan, Siti bakal mempromosikan jenama periuk terbabit di Go Shop dengan menyertai demonstrasi masakan secara langsung.
"Program promosi ini berlangsung selama tiga bulan. Saya sangat teruja untuk memasak secara langsung di hadapan penonton Go Shop.
"Produk yang dikeluarkan akan mempunyai tanda tangan saya. Mungkin saya akan dibantu oleh cef dan bakal menyediakan juadah yang selalu saya masak di rumah seperti ketam telur masin dan sebagainya," katanya.