Jadi duta 8 jenama, Ayda Jebat jaga nilai eksklusiviti

Gempak
Jun 6, 2019 06:32 MYT
Menjaga diri dari terpalit dengan kontroversi, Ayda mahu mengelak dari berita sensasi yang berbaur negatif. - Foto Instagram
PELAKON dan penyanyi Ayda Jebat bersyukur kerana 2019 banyak membuka pintu rezeki kepadanya.
Bergelar duta dan jurucakap, tahun ini menyaksikan Ayda mewakili lapan jenama.
"Rezeki yang datang ini saya pikul sebagai amanah dan tanggungjawab. Saya ada mewakili produk baru, ada juga yang kontraknya disambung semenjak beberapa tahun lalu.
"Syukur kerana setakat ini, client gembira dengan komitmen yang saya berikan. Saya sangat bertuah kerana biarpun ramai pelakon wanita baru muncul bersilih ganti, rezeki memihak kepada saya.
"Rezeki yang hadir membuatkan saya rasa sangat berterima kasih dan mensyukuri nikmat yang Allah berikan, Alhamdulillah," kata Ayda.
Menjaga diri dari terpalit dengan kontroversi, Ayda mahu mengelak dari berita sensasi yang berbaur negatif.
"Kontroversi itu ada baiknya, ia menaikkan nama tetapi harus diingat, ia juga memberikan kesan buruk. Selagi saya boleh elak, saya akan cuba elakkan.
"Malah, jika ada yang bertanya apa rutin harian Ayda Jebat, pastinya mereka jarang melihat saya menghabiskan masa di pusat membeli-belah atau tempat awam jika mempunyai waktu senggang.
"Bukan mahu berlagak diva atau sebaliknya, tetapi saya menggunakan masa lapang untuk berehat di rumah bersama keluarga. Tambahan pula, saya harus menjaga nilai eksklusiviti sebagai wajah kepada jenama yang saya wakili," kata Ayda.
Ayda ditemui di majlis berbuka puasa bersama kelab peminat AJSreamer di Bizmilla Subang, Selangor.
Meraikan anak-anak yatim, Ayda gembira dapat menghabiskan masa dengan peminat.
"Sambil berpeluang menghabiskan masa dengan peminat, saya juga dapat mendekatkan diri dengan anak-anak yatim sempena kehadiran Ramadan dan Syawal.
"Alhamdulillah, saya gembira kerana dapat melakukan sesuatu yang baik bersama peminat dan berharap agar ia dapat dilakukan lagi di masa akan datang," katanya lagi.
#aduh #Aidilfitri #anak yatim #Ayda Jebat #berhari raya #Duta jenama #Instagram #pelakon #penyanyi #syawal
;