Jadi 'bahan' YouTuber naikkan tontonan... ini pendapat Siti Nurhaliza
Madiha Abdullah
Oktober 18, 2020 15:29 MYT
Oktober 18, 2020 15:29 MYT
KUALA LUMPUR: Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengambil positif setiap video reaksi berkaitan dirinya yang dimuat naik mana-mana pemilik saluran YouTube (YouTuber).
Ini termasuklah reaksi yang dibuat YouTuber dari luar negara.
Menjawab komen salah seorang peminat di Instagramnya, Siti berkata beliau melihat perkara itu sebagai satu perkembangan baik bagi industri muzik tempatan.
"Saya ambil positifnya yang lagu-lagu saya dan penyanyi tempatan lain dapat diperdengarkan ke luar menerusi video reaksi oleh YouTuber.
"Ini salah satu cara untuk mereka mengenali dan mendengar muzik kita," tulis Siti.
Siti sebelum itu memuat naik video reaksi seorang YouTuber antarabangsa terhadap video muzik terbaharunya, Siapa Tak Mahu.
Carian Astro AWANI mendapati walaupun belum sampai 48 jam video muzik berkenaan dimuat naik, hampir 10 YouTuber sudah memberikan reaksi mereka yang rata-ratanya memuji kelainan video muzik tersebut.
Siti sebelum ini membuat perkara yang sama apabila memberikan penghargaan kepada YouTuber yang membuat reaksi terhadap video muzik Basyirah yang dimuat naik April lalu.
Tahun lalu, seorang YouTuber dari Filipina, Nephi Acaling, menjadi individu bertuah dijemput Siti ke rumahnya.
Acaling kerap memuat naik video reaksi bagi video-video nyanyian Siti ke saluran YouTube miliknya dan menggelarkan dirinya sebagai 'Sitizoner dari Filipina'.
#Siti Nurhaliza
#YouTube
#YouTuber
#laman sosial
#video muzik
#Siapa Tak Mahu
#Single
#Lagu
#hiburan